|
HAALAND dilapor mengalami kecederaan kaki sebelum menentang Luton dan statusnya masih belum dapat dipastikan menjelang aksi menentang Palace. - AFP
MANCHESTER – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengesahkan bahawa penggempur sensasinya, Erling Haaland sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan itu sejak Khamis lalu.
Penyerang antarabangsa Norway itu tidak berada dalam senarai skuad City yang terbang ke Belgrade untuk menentang Red Star ekoran kecederaan kaki yang dialami sebelum aksi menentang Luton Town sebelum ini.
Menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace di Etihad malam ini, Guardiola masih lagi belum membuat keputusan sama ada pemain itu akan diturunkan dalam kesebelasan utama atau sebaliknya.
“Dia tidak menjalani latihan selepas aksi menentang Luton, saya fikir dia hanya kembali menjalani latihan pada Khamis.
“Saya tidak pasti dia akan diturunkan pada aksi menentang Palace nanti, mungkin kami perlu mengadakan perbincangan dengan pasukan perubatan untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai Haaland,” katanya.
Dalam pada itu, Guardiola mengakui kehilangan perancang utamanya, Kevin De Bruyne yang menyebabkan City bergelut untuk berada pada prestasi terbaik sekali gus ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Arsenal ketika ini.
“Sudah tentu saya lebih suka jika Kevin bersama kami, memang saya perlukannya. Namun, saya perlu menguruskan situasi ini sebaik mungkin dengan pemain yang ada.
“Saya sudah katakan banyak kali, apabila kami tidak memiliki pemain seperti musim lalu, kami bukanlah kehilangan, cuma perlu membuat sedikit perubahan dan ia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri,” jelasnya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/12 ... land-beraksi-samar/ |
|