CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8750|Reply: 0

[Pulau Pinang] Ibu mimpi wajah Hawari berseri, tampak gembira

[Copy link]
Post time 15-12-2023 05:19 PM | Show all posts |Read mode
Ibu mimpi wajah Hawari berseri, tampak gembira


Siti Aminah Mohd Yusof
[email protected]



CHE Tom ketika ditemui pada Program Eternal Ascent: Journey with The Malaysian Everest Expedition 2023 di Balai Seni Lukis, Dewan Sri Pinang, hari ini. FOTO Danial Saad.




Georgetown: Ibu kepada peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023) orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim meluahkan rasa rindunya semakin mendalam meskipun selepas tujuh bulan anaknya dilaporkan hilang selepas menawan puncak tertinggi dunia itu pada 19 Mei lalu.

Che Tom, 64, berkata sebagai ibu dia sentiasa berdoa serta amat berharap anak ketiga daripada lima beradik itu dapat ditemui sekali gus merungkai persoalan berhubung kehilangan anaknya yang masih belum terjawab sehingga kini.

"Mak cik harap jumpa Warie. Sekurang-kurangnya terungkai masalah (kehilangan). Mak cik reda dengan apa yang telah berlaku. Tetapi, kalau boleh mak cik nak lihat jasadnya di depan mata.

"Dua bulan lalu, mak cik mimpi dia. Nampak muka saja. Latar belakang tempat tak tahu di mana. Muka nampak berseri-seri. Dia senyum nampak seronok (gembira) tapi dia tak cakap apa-apa.

"Mimpi itu sekejap sahaja. Tak nampak pula dia pakai baju apa. Bila mak cik terjaga, sudah masuk waktu Subuh," katanya kepada pemberita selepas Program Pendakian Abadi: Perjalanan Bersama Ekspedisi ME2023 di Balai Seni Negeri, hari ini.

Menerusi program berkenaan, Che Tom bersama menantunya, Saffiyah Tang Xie Lie, 34, serta dua anaknya iaitu Hana Sakeena Muhammad Hawari, 4, dan Haris Sufian, 2, berpeluang mendengar perkongsian Pengarah Pioneer Adventure, Nivesh Karki, dan jurugambar ekspedisi, Bidhan Shrestha yang terbabit secara langsung dalam misi pencarian Muhammad Hawarie.

Che Tom berkata, dia bersyukur apabila dua wakil yang diterbangkan dari Nepal berjanji akan mencari anaknya dan lega dapat bertanya dan menyampaikan hasrat hatinya sendiri kepada kedua-dua wakil sherpa atau malim gunung berkenaan.

Dia turut memberitahu masih belum mempunyai kekuatan untuk melihat isi kandungan beg yang dibawa anaknya dalam misi itu.

Katanya, beg itu hanya dibuka dan dilihat isteri serta ahli keluarga lain selepas barangan berkenaan dibawa pulang sekitar Julai lalu.

"Itupun selepas hampir dua bulan beg itu sampai, baru ia dibuka. Ada di antara baju dan kasut sudah diberi kepada adik-beradik lain sebagai kenangan. Isterinya ada gantung jaket tebal berwarna oren yang dipakai Warie semasa di sana di pintu bilik mereka.

"Kadang-kadang bila terlihat baju itu ditiup angin, saya nampak macam 'ada' Warie. Dalam beg itu juga ada al-Quran dan sejadah yang digunakan Warie," katanya.

Sementara itu, Saffiyah berkata, dia sudah mula bekerja sebagai kerani di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdekatan kediaman mereka di Kampung Permatang Kerai Besar, Kepala Batas awal bulan ini.

Dia yang juga OKU pendengaran menerusi khidmat jurubahasa isyarat berkata dia tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa menguatkan diri dan tabah mengharungi kehidupan bersama anak-anak.

"Saya sebenarnya sudah lama tidak memandu kereta. Mungkin dalam empat hingga lima tahun. Kereta suami pula Perodua Alza kereta manual jadi saya kurang mahir membawanya. "Syukur ada kawan sudi tukar dan pinjamkan kereta automatik buat sementara waktu ini untuk hantar anak sulung ke sekolah.

"Saya memang tidak boleh lupa dan selalu ingat kepada suami. Jadi saya cuba sibukkan diri dengan bekerja uruskan anak-anak dan jalani hidup dengan sebaik-baiknya," katanya.

Muhammad Hawari dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Sehari sebelum itu, Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak Everest pada jam 3.30 petang waktu Nepal.

Sebelum ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki berkenaan ditamatkan pada 16 Jun lalu dan akan disambung semula tahun depan.



Disiarkan pada: Disember 15, 2023 @ 5:11pm








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

5-2-2025 11:56 PM GMT+8 , Processed in 0.048363 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list