|
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membawa anjing pengesan untuk mencari mangsa yang tertimbus dalam runtuhan gudang dalam pembinaan di Batu Maung. - Foto BERNAMA
GEORGETOWN: Majikan kepada pekerja pembinaan gudang di Batu Maung, Bayan Lepas yang terkorban berdepan dengan tindakan undang-undang susulan runtuhan, Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri, berkata tindakan perundangan itu diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab.
Hairozie berkata, pada masa ini, pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan di tapak kejadian kemalangan yang turut dihadiri pasukan dari Bahagian Kejuruteraan Forensik JKKP Malaysia.
"Notis pemberhentian serta-merta ke atas semua kerja di tapak pembinaan gudang itu sudah dikeluarkan, selain siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Siasatan yang dijalankan menjurus kepada Seksyen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, iaitu berkaitan dengan tanggungjawab majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa aktiviti kerja dijalankan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Hairozie berkata, majikan juga sudah diarah melantik penyiasat bebas bagi mengenal pasti punca kejadian dan menilai kualiti struktur pembinaan di tapak pembinaan itu.
Katanya, JKKP Pulau Pinang hanya akan membatalkan notis yang dikeluarkan sekiranya semua bukti di tempat kejadian sudah diperoleh dan pihak jabatan berpuas hati dengan langkah pembaikan serta kawalan yang akan diambil bagi mengelak kemalangan berulang.
"Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan," katanya.
Dalam kejadian itu, dua mangsa maut di lokasi kejadian dan seorang lagi meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang.
Anggota bomba bersama agensi penyelamat yang lain mencari mangsa tertimbus dalam runtuhan sebuah gudang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas. - Foto BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berit ... dakan-undang-undang |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|