KANGAR: Tuah menyebelahi seorang pemancing apabila ikan belukang ditawannya pada pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Terbuka Perlis, di sini, ditimbang paling berat untuk meraih hadiah wang tunai RM50,000.
Sharuddin Adnan mengetepikan saingan lebih 1,000 peserta lain pada pertandingan di pantai Kuala Sanglang itu dengan belukang seberat 2.340 kilogram (kg), manakala Mohd Nur Badri Azmi dari Kedah dan Superapno Tumari dari Johor, masing-masing terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan ketiga.
Mohd Nur Badri yang menaikkan ikan belukang seberat 1.750kg, membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, manakala Superapno, juga dengan ikan belukang seberat 1.705kg menerima RM4,000.
Pertandingan menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM160,000 itu dianjurkan Kelab Memancing Geng Pancing Unik (GPU) bagi menyokong usaha kerajaan mempromosi pelancongan dalam negara menerusi tema Cuti-Cuti Malaysia yang didukung oleh Tourism Malaysia.
Jurucakap penganjur, Wan Mohd Fitri Wan Shahidan, berkata walaupun acara itu bertembung dengan satu lagi acara memancing di Terengganu, ia tetap mendapat sambutan peserta dari luar Perlis yang datang dari negeri seperti Selangor, Johor, Melaka, Pahang, Kelantan dan Perak.
"Sambutan peserta luar Perlis terhadap pertandingan ini sangat menggalakkan. Insya-Allah acara ini akan dianjurkan lagi pada tahun depan,'' katanya.