Bayan Lepas: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Ir A Rajendran mengesahkan pihaknya sudah mengeluarkan notis berhenti operasi kerja serta-merta berikutan kejadian
bangunan runtuh di sini, semalam.
"Kita sudah keluarkan notis berhenti kerja (operasi) serta-merta kepada pemaju dan pihak jurutera, awal pagi ini.
"Setakat ini, didapati kerja pembinaan bangunan itu berlangsung ikut jadual.
"Berikutan kedudukan tapak pembinaan yang jauh daripada kawasan perumahan, kita memberi kebenaran kepada mereka bagi bekerja pada waktu malam," katanya di lokasi di sini, hari ini.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kejadian bangunan runtuh berhampiran Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, kira-kira 9.45 malam.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kejadian membabitkan sembilan pekerja yang mana dua mangsa ditemukan maut di lokasi, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
Dua mangsa parah dibawa ke hospital dan pasukan penyelamat masih mengesan empat lagi mangsa yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan pagi ini.