|
Seorang lelaki kritikal selepas ditembak di hadapan bengkel miliknya.
Infobae.com melaporkan, mangsa yang dikenali sebagai Leonardo Abel Micheli, 40 tahun ditembak di kepala pada jarak dekat di tempat kejadian yang terletak di Argentina.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 4 petang Selasa itu, Leonardo berada di bengkel yang terletak di kawasan kejiranan Villa Galicia berhampiran Lomas de Zamora sebelum didatangi dua orang lelaki yang menggunakan motosikal.
Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus menghampiri kedua-dua suspek sebelum salah seorang daripada mereka menembaknya dan terus melarikan diri dari tempat kejadian.
Kejadian itu turut dirakam kamera litar televisyen tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.
Difahamkan, selepas kejadian, mangsa dihantar ke hospital terdekat oleh salah seorang rakannya yang terdengar bunyi tembakan.
Difahamkan mangsa kini berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi Hospital Monte Grande Bicentennial.
Menurut pihak berkuasa tempatan, motif tembakan tersebut masih lagi dalam siasatan polis.
Polis juga sedang giat memburu suspek yang masih bebas di sekitar kawasan tersebut. —CARI
Sumber: Majoriti
|
|