View: 961|Reply: 0
|
[Perak]
Warga emas cedera ditetak dalam kejadian samun
[Copy link]
|
|
Gambar hiasan
TELUK INTAN – Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun cedera di bahagian jari selepas ditetak dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Indah Jaya di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, maklumat kejadian samun di rumah teres satu tingkat itu diterima pihaknya pada pukul 5.20 petang.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang berada seorang diri di rumah, telah didatangi seorang lelaki warga tempatan yang menawarkan kerja-kerja pengubahsuaian di bahagian hadapan pagar.
“Mangsa yang terpedaya dengan tawaran lelaki itu telah membenarkannya masuk ke dalam rumah.
“Suspek bagaimanapun bertindak menolak mangsa dengan kuat sehingga terjatuh di atas lantai. Mangsa cuba melarikan diri namun dihalang suspek dengan menetak tangan warga emas itu menggunakan sebilah parang,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek kemudiannya mengikat kedua-dua tangan mangsa menggunakan tuala kecil sebelum dua lagi rakan sepenjenayahnya masuk ke dalam rumah.
Katanya, ketiga-tiga suspek menggeledah rumah mangsa dan melarikan barangan kemas, wang tunai RM3,000, sebuah telefon bimbit dan kereta jenis Perodua Axia.
“Mangsa yang cedera telah meminta bantuan orang awam dan mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan. Mangsa mengalami kecederaan luka di jari telunjuk kanan dan menerima lima jahitan,” katanya.
Tambah beliau, Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah hadir ke lokasi kejadian dan berjaya menimbulkan 11 cap jari dipercayai milik suspek.
Katanya, pengecaman wajah suspek melalui fotofit oleh mangsa juga telah dijalankan oleh Unit D6 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dengan hasil pengecaman sebanyak 70 peratus.
“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan kesemua suspek. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Fa’eqa Razak di talian 017-4415342 atau 05-6299222. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/11 ... lam-kejadian-samun/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|