Georgetown: Malaysia tidak memerlukan sumbangan pendakwah asing untuk beri pencerahan mengenai selok-belok ajaran Islam, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Ia memandangkan negara ini sudah ada ramai pendakwah dan penceramah agama yang mampu mengisi keperluan program keilmuan Islam.
Wan Salim berkata, kehadiran penceramah dari luar negara dibimbangi boleh memburukkan suasana di negara ini apabila pandangan mereka bercanggah dengan kefahaman majoriti masyarakat Islam di sini yang sudah diterima pakai sejak sekian lama.
Katanya, bagi orang berilmu mungkin tiada masalah untuk menerima kepelbagaian pandangan dalam Islam tetapi kepada masyarakat awam, sebarang pandangan berbeza daripada apa yang sedia diamalkan sejak sekian lama boleh mengharu-birukan keadaan.
"Malah dalam jangka masa panjang, perbezaan pandangan itu dibimbangi boleh menggugat perpaduan umat Islam di negara ini sehingga berpotensi mewujudkan golongan berbahaya seperti Da'ish yang menghalalkan nyawa dan darah umat Islam tidak sama fahaman Islam dengan mereka.
"Walaupun pada prinsipnya ajaran Islam adalah sama di seluruh dunia, namun ia mempunyai penerapan ke dalam kehidupan masyarakat nusantara yang digabung dengan adat budaya tempatan tersendiri.
"Ia menyebabkan berlaku perbezaan atau kelainan di sudut tata kelakuan antara penganut Islam di rantau ini dengan masyarakat Islam di bahagian dunia Islam lain seperti Timur Tengah, Indo-Pakistan dan Afrika," katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
Wan Salim berkata demikian bagi mengulas mengenai ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem yang diputuskan sebagai sesat dan bercanggah dengan agama Islam.
Beliau berkata, jika seorang Muslim tidak percaya kepada ulamak maka dia akan kehilangan golongan yang dirujuk dalam hal ehwal agama.
Seterusnya, setiap orang akan mentafsir ajaran Islam mengikut fikiran sendiri, maka kefahaman akan bercelaru sehingga boleh menjadi punca perbalahan dan permusuhan antara sesama umat Islam.
"Perbezaan mazhab fiqah juga menyumbang kepada perbezaan kefahaman agama dan penghayatannya antara masyarakat Islam tempatan dengan saudara mereka di negara lain," katanya.
Sehubungan itu, masyarakat awam di negara ini dinasihati supaya tidak mudah terpengaruh dengan pandangan individu seperti Mhd Mohib Khouli Nazem.
"Mhd Mohib banyak mengkritik alim ulama tempatan malah memperlekehkan mufti dan lazimnya, seorang alim tidak berkelakuan sedemikian sebaliknya bersifat rendah diri serta menghormati pihak lain.
"Saya bersetuju apabila lelaki ini dilarang daripada menyampaikan pandangannya sama ada di masjid, surau atau menerusi platform media sosial," katanya.