|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/1119rsuum_1700382398.jpg)
Muhammad Azri Mizra, 25, (kiri) Nurfarazida Salleh, 23 dan J. Kaavilash Nair, 24, menunjukkan anugerah yang diterima masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu'adzam Shah di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Sintok: Gagal dua kali dalam permohonan masuk ke universiti kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang baik tidak mematahkan semangat seorang pelajar sehingga akhirnya dia dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja.
Kekecewaan masa lampau itu nyata tidak mematahkan semangat Muhammad Azri Mizra, 25, yang menerima anugerah terbabit atas kecemerlangannya pada Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.
Lebih menggembirakan apabila anugerah khas itu disampaikan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada majlis di Dewan Mu'adzam Shah, UUM .
Muhammad Azri yang kini bekerja sebagai Pegawai Perolehan di sebuah syarikat swasta berkata, kegagalan mendapat tempat di universiti pada 2015 menjadi titik permulaan untuknya bangkit berjuang selepas ditawarkan menyambung pengajian diploma di Kolej Profesional Mara, Johor.
"Saya gagal beberapa subjek dalam SPM, jadi permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) ditolak dua kali. Sejak itu, saya nekad berusaha dalam pelajaran di Kolej Profesional Mara sehingga berjaya ke UUM bagi mengikuti Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan).
"Saya juga ingin balas jasa ibu yang bertungkus-lumus membesarkan saya dan adik-beradik dengan berniaga secara kecil-kecilan. Alhamdulillah hari ini saya berjaya, yang penting kita perlu minat serta rajin, tidak ada jalan mudah untuk berjaya," katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.
Turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja adalah graduan Sarjana Muda Komunikasi, J Kaavilash Nair, 24, manakala Pingat Emas Canselor dianugerahkan kepada graduan Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, Nurfarazida Salleh, 23.
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja menerima wang tunai RM7,500 berserta sijil dan penerima Pingat Emas Canselor menerima wang tunai RM4,000 berserta sijil.
Kaavilash Nair berkata, beliau juga pernah mengecewakan kedua ibu bapanya apabila gagal memperoleh keputusan cemerlang ketika peperiksaan SPM sehingga menyebabkan dia berasa terlalu sedih.
"Mujur saya diberi peluang melanjutkan pengajian ke UUM, apabila dapat peluang kedua ini, saya tanamkan dalam diri untuk mencapai kejayaan. Saya habiskan banyak masa belajar demi membalas jasa kedua ibu bapa.
"Disebabkan itu, kejayaan yang saya perolehi ini didedikasikan sepenuhnya kepada mereka yang tidak pernah putus atas memberikan sokongan sepanjang saya di UUM," katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.
Sementara itu, Nurfarazida berkata, kejayaan yang diperolehnya adalah hasil dorongan ibu bapanya yang mencari rezeki sebagai petani bagi menyara keluarga mereka di Kemaman, Terengganu.
"Saya sentiasa fokus dalam kuliah selain akan berinteraksi dengan pensyarah sekiranya terdapat kemusykilan kerana mahu ubah nasib keluarga di kampung. Malah hampir setiap hari saya akan solat hajat dan baca al-Quran.
"Selepas ini, saya mahu bekerja dan membeli rumah untuk keluarga kerana sehingga kini kami masih menyewa, ayah besarkan adik-beradik dengan menjual sayur dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ah-pelajaran-diraja |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|