Kangar: Gabungan Pengilang Beras Malaysia menggesa Seksyen Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dapat mewujudkan hanya satu gred tunggal sahaja untuk beras putih tanpa perlu melabelnya sebagai Beras Putih Tempatan dan Beras Putih Import seperti ketika ini.
Pengerusinya, Marzukhi Othman berkata, langkah itu penting supaya sebarang manipulasi di peringkat pemborong dapat dicegah serta dikekang dan pengguna tidak tertipu dengan produk beras yang mereka beli.
"Ini saya rasa, kita sudah meletakkan satu tanda aras yang tidak sama bagi beras tempatan yang mana umum mengetahui bahawa beras putih tempatan adalah lebih berkualiti daripada beras import namun di Malaysia, ia diletakkan di kelas yang terbawah daripada beras lain.
"Pada masa sama, beras putih import terus mendapat nama walhal ia sebenarnya adalah beras yang dicampurkan dengan beras tempatan untuk menepati citarasa rakyat Malaysia.
"Situasi yang berlaku pada hari ini adalah, pemborong memasukkan kandungan beras tempatan dengan beras import dan dinyatakan atau didakwanya sebagai beras import. Ia kemudiannya dijual pada harga tidak dikawal daripada RM40 sehingga RM48 dalam pasaran runcit," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sebuah kilang beras di Simpang Empat, di sini, hari ini.
Katanya, pada masa sama, pengilang pula disaran untuk dijual pada harga kawalan iaitu RM2,250 bagi satu tan metrik.
"Ini adalah tidak adil kepada pihak kami sebagai pengilang yang melabur jutaan ringgit serta petani yang mengerjakan sawah bendang dan menghasilkan padi yang berkualiti, namun tidak mendapat tempat yang seimbang dengan beras yang dijual di peringkat runcit.
"Oleh itu, selagi wujudnya dua gred beras putih pada harga yang berbeza, ia tidak akan menyelesaikan masalah penyelewengan sekiranya berlaku lonjakan harga beras import pada masa hadapan.
"Kita jadikanlah ia sebagai pengajaran kepada kita yang mana isu beras ini tidak pernah selesai selagi wujudnya ketirisan buat pemborong untuk memanipulasi beras tempatan.
"Dengan adanya hanya gred tunggal beras putih, industri padi dan beras negara mampu menjadi lebih stabil dan harmoni," katanya.
Beliau berkata, pada masa sama, pemain industri bermula daripada pesawah, pengilang, pemborong dan peruncit dapat menguruskan tanggungjawab masing-masing dengan lebih terkawal dan terancang.
"Daripada segi penetapan harga bagi beras putih gred tunggal ini, terpulang kepada kerajaan untuk membuat ketetapan berkenaan.
"Selain itu, kami menyambut baik hasrat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang mahu menyemak semula harga siling beras putih tempatan yang mana kali terakhir ia dilakukan pada 2008," katanya.
Terdahulu, beliau bersama sebahagian ahli gabungan yang lain terdiri daripada pengilang beras dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor turut menunjukkan perbezaan kualiti beras tempatan dengan beras import membabitkan beras dari negara Thailand, Myanmar dan India.
Menurutnya, jika dinilai butiran beras tempatan, ia jauh lebih baik daripada beras import.
Malah jika dilihat beras India, butiran berasnya lebih kecil berbanding beras tempatan.