Tangkap layar video tular memaparkan suspek disyaki mencuri kabel di kawasan Air Itam, Pulau Pinang, melarikan diri dengan menaiki dua kenderaan berasingan. - Foto tular media sosial
GEORGETOWN: Polis giat mengesan beberapa orang disyaki terbabit dalam kes curi kabel di kawasan Air Itam di sini, semalam.
Pemangku Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan, berkata pihaknya menerima laporan dibuat kakitangan syarikat telekomunikasi di Balai Polis Bandar Baru di sini, berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, pengadu mendakwa beberapa kabel elektrik hilang ketika melakukan pemeriksaan di tempat kejadian pada jam 8.30 pagi semalam.
"Pengadu mendakwa tujuh kabel hilang manakala empat lagi dipotong dan ditinggalkan di atas jalan.
"Kejadian menyebabkan kerugian dianggar RM15,000 dan susulan itu, pengadu membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Saravanan berkata, suspek dilapor melarikan diri dengan dua kenderaan berasingan selepas menyedari kehadiran kakitangan syarikat berkenaan.
Katanya, suspek dikesan menaiki kereta jenis Proton Wira putih dan Honda Accord kuning.
"Polis masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai dinasihati tidak menularkan rakaman video kejadian bagi mengelak sebarang spekulasi," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan, boleh hubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat di talian 04-21811831 bagi membantu siasatan.