|
Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM400 terhadap seorang 'Instafamous' atau pempengaruh media sosial kerana mencuri barang pasar raya bernilai lebih RM100.
Majistret Nurul Izzah Shaharuddin, memutuskan hukuman berkenaan terhadap Rumaisyah Yahya, 31, selepas dia mengaku bersalah mencuri beberapa barang termasuk pewangi bilik, ubat gigi, sabun mandi, dan sayur brokoli berjumlah RM108.18.
Gambar hiasan
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga hari terhadap wanita itu jika gagal membayar denda.
Kesalahan dilakukan di pasar raya sebuah pusat beli-belah terkemuka di Jalan Ampang di sini, jam 4.30 petang, 1 November lalu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda serta bagi kesalahan kali kedua hendaklah dihukum dengan penjara, denda atau sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Sheryn Yong Shi Yee, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Namun, peguam bela Rumaisyah, Muhammad Rhastdan Abdul Wahab, memohon hukuman penjara dan denda minimum atas alasan anak guam tiada pendapatan tetap dan menyara ibu berusia 65 tahun.
Katanya, anak guam berhadapan kesalahan pertama dan barang diambil hanya membabitkan keperluan asas.
"Anak guam insaf dan mohon diberikan peluang kedua," katanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai guru yoga mengambil beberapa barang sebelum memasukkannya ke dalam beg dibawanya, namun tidak membuat pembayaran barangan itu sebelum berjalan ke bahagian lain dan keluar dari pasar raya.
Dia kemudian ditahan oleh pengawal keselamatan dan hasil pemeriksaan mendapati beg yang dibawa ada barang milik pasar raya itu, selain tertuduh gagal mengemukakan resit pembelian.
Sumber: BH Online |
|