Georgetown: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang terus memantau sebanyak 241 kawasan panas atau 'hotspot' yang berisiko banjir sepanjang musim monsun timur laut tahun ini.
Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Ishak Mohd Radzi berkata, seramai 850 anggota APM dengan pelbagai kelengkapan logistik sudah bersiap siaga sekiranya berlaku kejadian banjir dalam tempoh berkenaan.
Selain itu, pihaknya sudah menganjurkan mesyuarat dan simulasi bencana serta mengaktifkan pusat kawalan operasi bencana di lima daerah.
"Sebenarnya, persediaan sudah dilakukan sejak Oktober lalu iaitu lebih awal bagi menghadapi monsun timur laut yang dijangka bermula pada November hingga Mac tahun depan kerana kita hadapi banyak 'kejutan' hujan lebat.
"Misalnya pada Oktober lalu, Pulau Pinang terima jumlah hujan paling tinggi, antara 290 hingga 430 mililiter (ml).
"Kesemua aset iaitu sebanyak 67 kenderaan di air dan 40 aset darat bersedia digerakkan pada masa yang diperlukan," katanya ketika ditemui di Pejabat APM Negeri, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ishak turut melakukan tinjauan persiapan menghadapi bencana yang dilakukan anggota bersama pegawai di perkarangan pejabat berkenaan.
Menurutnya, pihaknya juga akan turun padang bagi memantau dan meninjau di beberapa lokasi berisiko sekiranya berlaku kenaikan paras air yang mendadak.
"Kita akan fokus kepada kawasan hotspot banjir di setiap daerah antaranya ialah Jalan P Ramlee di Daerah Timur Laut; Kampung Bukit dan Kampung Seronok, Bayan Lepas di daerah Barat Daya serta Sungai Acheh di daerah Seberang Perai Selatan.
"Selain bersedia dengan beg keperluan asas, APM juga menasihati penduduk supaya cakna dengan suasana atau informasi sahih daripada agensi kaji cuaca seperti MetMalaysia dan media massa.
"Juga perlu cakna dengan siren amaran banjir di setiap kawasan hotspot kerana masih ramai yang tidak tahu bunyi siren berkenaan sekiranya air berada di peringkat amaran atau bahaya," katanya.
APM Pulau Pinang pada masa ini mempunyai sebanyak 12 lori, ambulans (15) dan kenderaan pacuan empat roda (14) bagi memantapkan lagi operasi menyelamat.
Di Pulau Pinang, APM mempunyai sebanyak lima menara penyelamat atau 'baywatch' yang mana empat daripadanya ditempatkan di daerah Timur Laut dan satu di daerah Barat Daya.
Dalam perkembangan sama, Ishak berkata, Op Ramah yang dilaksanakan ketika monsun barat daya sepanjang Mei hingga September lalu diteruskan bagi monsun timur laut.