|
Aaron-Wooi Yik juara Terbuka Denmark
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik muncul juara Terbuka Denmark di Copenhagen, Denmark. - AFP
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan kemarau penantian enam tahun sejak digandingkan apabila meraih gelaran Jelajah Dunia BWF di Terbuka Denmark, sebentar tadi.
Sejak mula digandingkan bersama pada 2017, Aaron-Wooi Yik sering dikecewakan terutama di pentas final dan kejayaan ini menambah koleksi mereka selepas meraih gelaran dunia di Tokyo pada 2022.
Pada aksi final di Arena Jyske Bank, Odense, beregu ranking keempat dunia itu berjaya mengatasi lawan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan keputusan straight set 21-13, 21-17 dalam tempoh 33 minit .
Pertemuan itu adalah yang keempat buat kedua-dua beregu dengan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik meraih tiga kemenangan - terbaru di pusingan kedua Terbuka Jepun, Julai lalu.
Aaron-Wooi Yik selepas ini dijadual menyertai Terbuka Perancis yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 29 Oktober.
Bagi Wooi Yik, kejayaan sulung pada Jelajah Dunia itu amat bermakna apatah lagi mereka sudah lama digandingkan termasuk pernah menang gelaran juara dunia.
"Saat ini (kejayaan menang Terbuka Denmark) akan sentiasa saya ingati," katanya selepas perlawanan.
Sementara itu Aaron pula jelas gembira dengan kejayaan itu dan akan mengambil sedikit masa untuk meraikan kejayaan mereka sebelum kembali ke gelanggang di Terbuka Perancis.
Atas kejayaan di Terbuka Denmark yang berstatus Super 750 itu, Olahragawan 2022, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai US$62,900 (RM299,875) dan 11,000 mata BWF.
Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan ... ara-terbuka-denmark
|
|