CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4591|Reply: 0

[Kedah] Ibu tak pernah menyangka akan mandikan jenazah anak sendiri

[Copy link]
Post time 21-10-2023 04:48 PM | Show all posts |Read mode

MASHITAH menunjukkan gambar arwah anaknya, Nurul Najihah. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Mashitah Shafie, 54, tidak pernah menyangka akan memandikan sendiri jenazah anak sendiri, Nurul Najihah Amzi, 27, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 390, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, Behrang, Perak, semalam.

Katanya, jenazah anak sulungnya itu dalam keadaan baik dan wajah Nurul Najihah yang mesra dengan panggilan kakak dan Kasih itu dalam keadaan bersih malah tiada kecederaan luar yang serius.

"Saya berpeluang memandikan jenazah anak perempuan bersama beberapa ahli Muslimat PAS yang lain di Jabatan Forensik Hospital Slim River di Perak.

"Ketika memandikan Nurul Najihah, saya lihat jenazah anak sulung saya dalam keadaan baik dengan hanya luka di kening dan dagu serta lebam di bahagian belakang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Melong, di sini hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga terutamanya adik bongsu arwah, Siti Aisyah, 13, sangat sedih dengan kehilangan kakaknya secara tiba-tiba namun reda dengan pemergiannya secara mulia pada hari Jumaat iaitu semalam.

Sementara itu, bapanya, Amzi Ishak,55, pula berkata, dia tidak menyangka permintaan anak perempuannya untuk dikebumikan di kampung halaman menjadi petanda anak tercinta itu akan pergi untuk selama-lamanya.

Amzi berkata, anak sulungnya itu menyuarakan hasratnya itu secara tiba-tiba kepada isterinya ketika mereka bertemu sekitar tiga bulan lalu.

"Ada perubahan pada anak saya dan dia beritahu dengan uminya, jika dia meninggal dunia nanti, dia mahu jenazahnya dikebumikan di sini (kampung halaman)

"Alhamdulillah, segala-galanya Allah SWT permudahkan urusan pengebumian arwah dan saya mendapat tahu berita kemalangan itu selepas solat Jumaat semalam apabila isteri tiba-tiba menangis mesti ada sebab," katanya.

Menurutnya, Nurul Najihah sangat aktif melakukan kerja amal dan kebajikan, malah suka membantu orang pada bila-bila waktu saja.

Sebelum itu, jenazah Nurul Najihah dikebumikan selepas subuh di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan, Derga, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang semalam, tiga wanita Muslimat PAS iaitu Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27, serta dua lagi pimpinan, Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23, dan Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dirempuh Toyota Altis semasa ketiga-tiga mangsa menghentikan Toyota Fortuner dinaiki mereka di bahu jalan.

Kejadian berlaku ketika mereka hendak membantu seorang pemandu lelaki trak pikap yang terbabas dan terbalik di longkang di kiri jalan.

Akibat kemalangan itu, Fatihah Nabila dan Taibah disahkan maut di tempat kejadian, manakala Nurul Najihah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River, petang semalam.

https://www.hmetro.com.my/utama/ ... enazah-anak-sendiri

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

6-2-2025 03:10 PM GMT+8 , Processed in 0.036670 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list