View: 1148|Reply: 0
|
Kita & Palestin tak terpisah
[Copy link]
|
|
Kita & Palestin tak terpisah
Perhimpunan aman serahan surat bantahan kepada kedutaan Amerika Syarikat diatas kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin di Hadapan Kedutaan Amerika Syarikat. FOTO AHMAD UKASYAH
F irman Allah dalam Surah al-Isra' ayat 1 bermaksud: "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (Kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Masjid al-Aqsa dan sekitarnya termasuk tanah, air, udara, batu, tanaman dan buah-buahan mempunyai keberkatan sebagaimana yang dinaskan oleh al-Quran. Oleh itu, bumi Palestin boleh dianggap sebagai muka bumi Islam yang suci ekoran Masjid al-Aqsa yang terdapat padanya. Masjid al-Aqsa adalah tempat yang telah disinggahi oleh nabi ketika peristiwa Israk dan Mikraj, di samping ia merupakan kiblat yang pertama bagi umat Islam.
Menunaikan solat di Masjid al-Aqsa mempunyai ganjaran lima ratus kali ganda berbanding mengerjakan solat di masjid lain (tidak termasuk Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi). Palestin adalah bumi para anbiya' (nabi-nabi) dan bumi yang diturunkan wahyu. Ramai nabi dan rasul tinggal dan hidup di bumi Palestin termasuk Nabi Ibrahim, Nabi Ishaq, Nabi Ya'qub, Nabi Yusuf, Nabi Lut, Nabi Sulaiman, Nabi Daud, Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan Nabi Isa.
Pembukaan Baitul Maqdis dilaksanakan dengan jayanya oleh Khalifah Umar al-Khattab (RA) pada tahun keenam hijrah. Oleh itu, Palestin telah menjadi sebahagian daripada dunia Islam. Penduduknya memeluk Islam dengan sukarela. Seterusnya ramai para sahabat dan tabiin tinggal di Palestin dan mereka menjadikan Palestin pusat perkembangan tamadun Islam. Justeru, Palestin berkembang pesat dengan pembinaan sekolah, masjid, hospital, pasar dan sebagainya. Palestin menjadi tumpuan para ulama dari segenap ceruk rantau sehinggalah al-Quds menjadi terkenal sebagai pusat ilmu dan ulama.
Bumi Baitul Maqdis ini terus dipelihara oleh pemerintah Islam manakala ulama pula mengambil inisiatif untuk terus mengekalkan peradaban Islamnya. Mereka sangat mengambil berat bumi suci ini lebih daripada penjagaan terhadap diri mereka sendiri. Sultan Abdul Hamid membuat kenyataan dengan katanya: "Sesungguhnya setiap inci bumi Palestin diperolehi dengan pengorbanan darah datuk nenek kita, oleh itu kita tidak boleh mempersia-siakan walau seinci dari bumi ini..." dan katanya lagi: "Kita tidak sekali-kali akan membenarkan Palestin yang telah dibuka dengan darah datuk nenek kita menjadi negara Yahudi."
Justeru, Sultan Abdul Hamid berusaha menjaga dan memelihara Baitul Maqdis daripada ketamakan Yahudi. Sultan Abdul Hamid bertindak dengan mengeluarkan arahan supaya melarang golongan Yahudi membina penempatan mereka di Palestin. Dalam usaha memelihara Palestin daripada diceroboh, baginda memisahkan Baitul Maqdis daripada pentadbiran Syria dengan memindahkannya kepada pentadbiran Khilafah Islamiah secara langsung.
Dari detik itu, bermulalah usaha menjatuhkan Khilafah Uthmaniah. Musuh Islam berusaha menempatkan Yahudi di Palestin agar Khilafah Uthmaniah dapat ditewaskan dengan mudah. Manakala orang Inggeris yang diketuai Lawrence pula berusaha sedaya upaya meniupkan semangat perkauman kepada orang Arab demi menjatuhkan Khilafah Uthmaniah di Turki.
Lawrence berkata: "Matlamat utama kita menghancurkan kesatuan Islam lantas memusnahkan empayar Islam Uthmaniah." Katanya lagi: "Sekiranya kita mampu mempengaruhi orang Arab untuk berusaha mengembalikan hak-hak mereka daripada orang Turki, maka pasti kita dapat menewaskan Islam selama-lamanya, bahkan kita berupaya memastikan orang Islam bercakaran sesama sendiri hingga gugurlah daripada mereka kuasa khilafah bagi orang Islam di Turki. Sekiranya perkara ini terjadi, kita tidak akan takut dan terancam dengan Islam buat selama-lamanya."
Apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, Inggeris dan Yahudi bersekongkol menentang Khilafah Uthmaniah. Kesan peperangan ini ialah tewasnya Daulah Uthmaniah. Dengan kekalahan itu, Palestin menjadi milik Britain, lalu Britain menyerahkan negara Palestin kepada Yahudi pada November 1917. Dengan ini bermulalah penempatan dan penguasaan Yahudi terhadap negara Palestin dan bilangan orang Yahudi yang mendiami Palestin bertambah dari semasa ke semasa. Lalu, Yahudi mengisytiharkan dengan rasminya kependudukan mereka di Palestin sebagai sebuah negara pada tahun 1948.
Semenjak peristiwa itu, rakyat Palestin berusaha sedaya upaya untuk tidak berundur dari bumi Palestin. Mereka melancarkan serangan jihad terhadap Yahudi. Namun mereka ditewaskan, sebaliknya Yahudi mengisytiharkan Palestin sebagai negara mereka. Yahudi juga telah membahagikan Palestin kepada tiga bahagian: bahagian terbesar dari bumi Palestin menjadi hak milik negara Yahudi, Semenanjung Barat diserahkan kepada Jordan manakala Semenanjung Gaza diserahkan kepada Mesir.
Pada tahun 1967, Yahudi bertindak untuk menguasai kawasan Palestin yang belum dikuasai oleh mereka. Dalam usaha ini, Yahudi menggunakan kekuatan tenteranya. Namun rakyat Islam Palestin tidak berdiam diri, malahan mereka berjuang habis-habisan dan berjihad menentang Yahudi. Rakyat Islam Palestin telah melancarkan 'intifadah' untuk menentang Yahudi pada tanggal 8 Disember 1987. Pengorbanan dan perjuangan rakyat Palestin ini membuahkan hasil apabila dapat mengkucar-kacirkan tentera Yahudi di samping dapat memusnahkan kereta kebal, kereta perisai dan sebagainya yang menjadi milik Yahudi.
Ketika gerakan 'intifadah' memuncak yang merisaukan Yahudi, terdengarlah suara-suara dari luar yang meminta agar dimeterai perjanjian damai dengan Yahudi. Suara-suara itu meminta agar diadakan perdamaian dengan pengunduran puak Yahudi sedikit demi sedikit dari bumi suci umat Islam itu.
Maka dari sinilah, datangnya fatwa daripada ulama Islam yang menghalang pengunduran umat Islam dari mana-mana bahagian dari bumi Palestin. Ini kerana tanah Palestin melibatkan akidah dan agama umat Islam yang tidak seharusnya sesiapapun mengabaikan bumi suci yang dibuka oleh orang Islam terdahulu dengan darah mereka dan yang terus memeliharanya sejak sekian lama.
Tambah memilukan lagi apabila keputusan Kongres Amerika bernombor (106) menyatakan bahawa bandar al-Quds sepatutnya menjadi ibu negara Israel untuk selama-lamanya. Dunia Islam dikejutkan dengan keputusan Kongres Amerika yang mengisytiharkan al-Quds milik Israel. Lalu, Majlis Fatwa Jordan menolak sekeras-kerasnya keputusan ini yang bercanggah dengan hak asasi manusia.
Sesungguhnya keputusan Kongres Amerika menggambarkan permusuhan mereka yang nyata dengan akidah umat Islam di atas muka bumi ini. Amerika Syarikat dan Israel bersatu untuk mengembangkan kezaliman dan permusuhan mereka terhadap bumi Palestin. Umat Islam perlu sedar bahawa sebenarnya merekalah yang bertanggungjawab terhadap al-Quds untuk memeliharanya dengan baik di atas nilai keadilan, kasih-sayang, hormat-menghormati di antara agama dan sebagainya.
Al-Quds merupakan salah satu juzuk daripada akidah umat Islam yang perlu dipelihara sebagaimana memelihara agama itu sendiri. Ini berlandaskan perkara berikut:
Terdapat ikatan kukuh di antara al-Quds dan Masjid al-Aqsa dengan akidah umat Islam. Ini kerana ia merupakan bumi yang dipilih oleh Allah sebagai tempat Israk dan Mikraj.
Ia juga kiblat pertama umat Islam. Umat Islam menghadapkan wajah mereka ke Baitul Maqdis ketika solat, iaitu ketika mereka di Makkah sebelum peristiwa hijrah dan selama lapan belas bulan ketika berada di Madinah al-Munawwarah.
Masjid al-Aqsa merupakan masjid yang disabdakan oleh Rasulullah agar umat Islam berusaha mendekatinya.
Rasulullah juga menerangkan dan memberitahu mengenai kelebihan dan fadilat tinggal di Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya. Sabda nabi SAW yang bermaksud: "Akan berterusan segolongan daripada umatku yang memperjuangkan kebenaran, dan mereka tidak dapat ditewaskan oleh musuh-musuh mereka hinggalah berlakunya Kiamat." Sahabat bertanya: "Di manakah mereka tinggal?" Jawab Nabi: "Mereka tinggal di Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya."
Malaysia konsisten menyokong perjuangan Palestin dan rakyat Malaysia bersatu hati menghulurkan sumbangan sebagai solidariti menentang kezaliman Zionis Israel.
Penulis Pensyarah Wacana Akidah, Fiqh, Sirah, Akhlak dan I'jaz al-Quran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... lestin-tak-terpisah
|
|
|
|
|
|
|
| |
|