|
ABD Aziz ditemukan lemas di Sungai Ketil. FOTO Ihsan JBPM
Baling: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemukan lemas di Sungai Ketil, di sini, hari ini.
Mayat mangsa, Abd Aziz Md Lazim, 72, ditemui pada 12 tengah hari oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPD) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua BBP Baling Mohd Jamil Mat Daud berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari tempat dia disyaki terjatuh dan 50 meter dari rumahnya di Kampung Kuala Cenerai, Kuala Pegang, di sini.
"Operasi yang bermula sejak semalam disambung 8 pagi tadi membabitkan anggota BBP Baling, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling serta dibantu penduduk kampung.
"Kita turut menggunakan bot untuk mencari mangsa di kawasan sungai berkenaan sebelum mangsa akhirnya ditemui. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa disedari hilang oleh anaknya selepas mendapati dia tiada dalam bilik tidur di rumah mereka pada 8.50 pagi semalam.
Menurutnya, anak mangsa bersama ahli keluarga termasuk isteri mangsa keluar mencari warga emas terbabit di sekitar kampung, tetapi gagal sebelum membuat laporan polis.
"Berdasarkan maklumat anaknya, warga emas itu menghidap penyakit angin ahmar ringan dan mengalami masalah ingatan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ang-ditemukan-lemas |
|