KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah peguam syarie bukan sahaja perlu menguasai ilmu perundangan berkaitan undang-undang syariah, tetapi juga undang-undang sivil.
Ia antara empat perkara digariskan baginda kepada peguam syarie dalam tugasan membantu pihak memerlukan khidmat nasihat perundangan dan perwakilan di Mahkamah Syariah.
Titah baginda, perkara itu penting mengambil kira isu-isu yang diputuskan di Mahkamah Syariah yang adakalanya mempunyai kaitan dengan undang-undang sivil seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara 1965, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991, Akta Pencen 1980 dan lain-lain.
Perkara kedua, Tuanku Syed Faizuddin menitahkan peguam syarie supaya bersifat amanah, jujur dan berniat baik untuk menegakkan keadilan dalam melaksanakan tugas dan peranan, seperti dituntut agama serta mematuhi Etika Peguam Syarie di bawah Arahan Amalan Mahkamah Syariah N0.4 Tahun 2002.
"Ketiga, (peguam syarie perlu) memfokuskan penyelesaian sesuatu kes dalam tempoh masa yang singkat tanpa meminggirkan prinsip keadilan.
"Untuk yang keempat pula, peguam syarie perlu memelihara kerahsiaan kes anak guam supaya tidak terdedah kepada umum dan pihak media yang boleh membawa kepada fitnah.
"Ia selaras penguatkuasaan Arahan Ketua Hakim Syarie Bilangan 1 Tahun 2023 berkenaan Pendengaran Kes Perceraian Secara Tertutup di Mahkamah Syariah Negeri Perlis mulai 1 Julai 2023," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Perlis 2023 di sini hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin turut berharap semua peguam syarie mengutamakan kepentingan keadilan dan menjunjung prinsip integriti dalam menjalankan tugas supaya imej agama Islam dan kehormatan profesion itu kekal terpelihara. – BERNAMA