CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2358|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Geng 'tow truck' bergaduh didenda RM3,000 setiap seorang

[Copy link]
Post time 12-10-2023 04:23 PM | Show all posts |Read mode

Sebahagian daripada 12 individu yang terbabit dalam rusuhan di Kampung Malaysia Tambahan hadir untuk pertuduhan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Kuala Lumpur: Seramai 12 ahli geng 'tow truck' yang tular merusuh menggunakan senjata dalam pergaduhan dua kumpulan penunda kenderaan masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mereka ialah Muhammad Farid Khalid, 35, Amir Aizuddin Alfarizan, 23, Muhammad Lum Chang Sing, 24, Mohammad Hakimi Mohd Hanafi, 27, Muhammad Firdaus Azizul Rahman, 26, Chan Weng Loon, 25, Khoo Ming Ru, 30, Wong Jia Jiet, 26, Tan Jin Aun, 26, Wong Zi Jing, 25, Kesavan, 19, dan Wan Yi Han, 28.

Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhi hukuman denda itu terhadap kesemua tertuduh selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.

Mahkamah memerintahkan semua lelaki itu dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama hadir (atau menyertai atau didapati berada) dalam rusuhan dan memiliki senjata api (sama ada amunisi, bahan letupan, benda melecur, benda yang boleh memudaratkan, kayu, bata atau apa-apa senjata) yang boleh digunakan untuk menyerang.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah kondominium di Kampung Malaysia Tambahan, di sini, jam 1.37 pagi, 2 Oktober lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, Muhammad Farid, Amir Aizuddin, Muhammad Lum Chang Sing, Mohammad Hakimi dan Muhammad Firdaus diwakili peguam, Hannan Ishak manakala tujuh tertuduh lain diwakili peguam, Tripatjit Singh.

Dalam rayuan mereka, Hannan dan Tripatjit memohon hukuman ringan dan berbentuk denda terhadap anak guam masing-masing dengan mengambil kira pengakuan bersalah mereka.

"Kesemua mereka masih muda dan berusia 20-an, mereka bekerja sebagai pemandu lori, penunda, mekanik dan jurujual serta bergaji bawah RM2,000, saya mohon mahkamah mengambil kira mereka yang masih muda serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama," kata Hannan.

Tripatjit juga memohon rayuan sama dengan mengambil kira pengakuan bersalah yang menjimatkan masa mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman yang mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh.

Pada 2 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan, polis menerima laporan awam berkaitan pergaduhan di Kampung Malaysia Tambahan dipercayai membabitkan dua kumpulan penunda kenderaan.

Siasatan awal polis mendapati, punca pergaduhan berkait urusan menunda sebuah kenderaan yang terbabit kemalangan di lokasi berkenaan.

Mereka dipercayai berebut untuk menunda kenderaan terbabit sebelum berlaku pergaduhan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... 3000-setiap-seorang
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-2-2025 11:41 PM GMT+8 , Processed in 0.052907 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list