KEPALA BATAS: Berpakaian tradisional sambil mengayuh basikal klasik sejauh lapan kilometer (km) menelusuri jalan kampung, sawah padi, tali air dan jalan raya.
Itu antara keunikan acara disertai hampir 100 peserta sempena Festival Cinta Rasul (FCR) yang berlangsung selama tiga hari anjuran Masjid Ar Rahman, Permatang Rambai, Penaga di sini, yang berakhir 1 Oktober lalu.
Ahli jawatankuasa masjid merangkap pengurus program FCR, Zahir Jamaluddin, berkata pihak masjid mengambil kesempatan menganjurkan Kayuhan Santai Basikal Klasik (KSBK) bagi memeriahkan lagi acara yang mendapat penyertaan amat memberangsangkan itu.
"Pihak kami teruja apabila menerima penyertaan daripada peserta pelbagai lapisan umur dengan gaya klasik tersendiri.
"Kita juga tidak menyangka apabila kaum wanita tidak mahu ketinggalan selepas lebih separuh daripada jumlah peserta terdiri daripada mereka, sedangkan sebelum ini jika ada program berbasikal, jarang sekali wanita mengambil bahagian," katanya.
Beliau berkata, KSBK antara acara sukan rakyat paling meriah dan menghiburkan apabila peserta disyaratkan berpakaian klasik ala-ala pakaian Melayu lama.
"Tema basikal klasik dipilih supaya peserta dapat merasai dan menghargai basikal klasik atau basikal tua yang pernah menjadi pengangkutan utama generasi terdahulu.
Peserta KSBK turut singgah di rumah tokoh besar kelahiran Kampung Permatang Rambai dan sekitarnya dalam usaha memperkenalkan tokoh itu serta menghargai nilai sejarah seni bina rumah tradisional yang masih dikekalkan hingga ke hari ini. - Foto ihsan Masjid Ar Rahman