Georgetown: Gara-gara kucing menumpahkan botol berisi kimia, pasukan bomba dipanggil bagi membersihkan bilik makmal di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang, Persiaran Tunku Kudin, di sini, hari ini.
Difahamkan, tumpahan berkenaan disedari pembantu makmal ketika melakukan pemeriksaan rutin sebelum wanita itu menghubungi talian kecemasan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak Fauzian Izzuan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.48 petang sebelum 16 anggota termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Bayan Baru ke tempat kejadian.
"Tumpahan bahan kimia daripada botol yang pecah di dalam bilik makmal itu membabitkan 10 botol bahan kimia Sodium Dihydrogen yang keseluruhannya 500 mililiter (ml).
"Pasukan bomba melakukan proses nyah cemar sebelum memastikan keadaan bilik makmal benar-benar selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pihaknya difahamkan botol berkenaan dijatuhkan kucing yang menyelinap masuk ke dalam bilik itu sebelum ia disedari oleh pembantu makmal.
"Operasi tamat pada 6.47 petang," katanya.