|
Arab Saudi mengumumkan hasrat untuk membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034. – Foto AGENSI
RIYADH: Arab Saudi mengumumkan rancangan untuk membida tuan rumah Piala Dunia 2034, langkah terbaharu dalam kempen untuk menjadikan negara beraja itu kuasa sukan dunia.
Bidaan itu "berhasrat untuk membawa kejohanan bertaraf dunia dan mendapat inspirasi daripada transformasi sosial dan ekonomi Arab Saudi yang berterusan serta keghairahan negara yang berakar umbi dalam bola sepak," menurut satu kenyataan Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF).
Berita mengenai bidaan itu hadir setahun selepas negara jiran Qatar menganjurkan Piala Dunia pertama di Timur Tengah, yang menyaksikan pasukan kebangsaan Arab Saudi melakar kemenangan menakjubkan di peringkat kumpulan ke atas pasukan juara Argentina.
Pengumuman Saudi itu juga hadir sejam selepas badan induk bola sepak dunia FIFA mengeluarkan kenyataan mengenai rancangannya bagi Piala Dunia 2030 dan menjemput negara dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk membida bagi 2034.
Sebaik kejohanan di Qatar berakhir, Arab Saudi mengikat Cristiano Ronaldo untuk beraksi dalam Liga Pro Saudi, yang pertama daripada kebanjiran pemain bintang yang ditawarkan gaji lumayan untuk bermain di negara pengeksport minyak mentah terbesar dunia.
Presiden FIFA, Gianni Infantino menjemput negara Asia membida tuan rumah Piala Dunia 2034 selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis FIFA secara maya di Zurich, Switzerland semalam. – Foto REUTERS
Sukan menjadi komponen utama agenda reformasi Wawasan 2030 Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang bertujuan mengubah Arab Saudi menjadi hab pelancongan dan perniagaan sambil mengalihkan ekonomi daripada bahan api fosil.
Dalam beberapa minggu lagi, negara itu akan menjadi hos kejohanan final Liga LIV Golf, satu perlawanan tinju menampilkan Anthony Joshua dan pusingan akhir Jelajah ATP Next Gen.
Ia juga akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Kelab FIFA pada Disember ini.
Awal tahun ini Arab Saudi disahkan sebagai tuan rumah Piala Asia 2027.
Kejohanan itu membolehkan pegawai Saudi menambah baik infrastruktur bola sepak sedia ada, dengan "stadium bertaraf dunia" baharu dibina "dengan cara yang paling mampan," kata Presiden SAFF, Yasser Al Misehal semalam. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... da-piala-dunia-2034 |
|