View: 1744|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Lebih 2,300 tentera negara FPDA sertai Eksesais BL23
[Copy link]
|
|
MAJLIS pembukaan Eksesais BL23 berlangsung di Pusat Peperangan Bersama, Kem Al-Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama di Kuantan pada Rabu. FOTO FB Angkatan Tentera Malaysia.
Kuala Lumpur: Lebih 2,300 anggota tentera negara-negara Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) iaitu Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom menyertai Eksesais Bersama Lima 2023 (BL23) bermula 2 hingga 20 Okt ini.
Bahagian Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan Majlis pembukaan BL23 disempurnakan Panglima Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Laksamana Madya Aaron Beng Yao Cheng di Pusat Peperangan Bersama, Kem Al-Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama di Kuantan.
"Eksesais BL23 ini dilaksanakan secara Field Training Exercise (FTX) di sebahagian kawasan perairan, darat, udara Semenanjung Malaysia dan Singapura termasuk kawasan perairan serta udara Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan.
"Eksesais BL23 merupakan Eksesais Gabungan tahunan antara Angkatan Tentera FPDA iaitu Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman diberi perghormatan menyempurnakan pemakaian lencana Eksesais BL23 kepada wakil-wakil Angkatan Tentera negara-negara FPDA.
"Pemakaian lencana itu adalah sebagai simbolik bermulanya Eksesais BL23 secara rasmi. Ia turut melibatkan tujuh buah kapal perang, 40 pesawat udara pelbagai jenis dan beberapa aset darat milik negara-negara FPDA.
Kenyataan itu memaklumkan bagi Eksesais BL23 kali ini, Brig Jen Muhammad Taha Hamdan telah dilantik sebagai Pengarah Eksesais BL23.
"Bersesuaian dengan falsafah perjanjian FPDA yang bersifat defensif, eksesais ini bukanlah sebagai satu bentuk ancaman kepada negara-negara sekitar, tetapi ia adalah latihan yang telah dirancang sesuai dengan tahap profesionalisme Angkatan Tentera negara-negara FPDA.
"Eksesais ini memberi peluang serta ruang kepada negara FPDA berkongsi kepakaran dan pendapat dalam menghadapi sebarang bentuk konflik pada masa hadapan," menurut kenyataan itu.
Eksesais BL23 ini dilaksanakan pada setiap tahun secara bergilir oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan SAF.
Tujuan Eksesais BL23 adalah untuk melatih keupayaan pasukan pertahanan FPDA di dalam mengatur-gerak, merancang dan menjalankan operasi di peringkat Combined Joint Task Force (CJTF) dengan mengkhususkan kepada integrasi taktikal gabungan dan bersama pada persekitaran pelbagai ancaman.
Turut hadir dalam Majlis Pembukaan Eksesais BL23 adalah Panglima Angkatan Tentera Australia Jeneral Angus John Campbell, Panglima Angkatan Tentera New Zealand Air Marshal R. Short, Naib Ketua Angkatan Pertahanan United Kingdom Jeneral Gwyn Jenkins dan Panglima Tentera Darat Malaysia Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ertai-eksesais-bl23 |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|