GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan membentangkan Pelan Pengurusan Krisis Sungai Muda (SM-CMP) kepada Kerajaan Pulau Pinang bagi melindungi pengguna air di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Pathmanathan, berkata pembentangan itu membabitkan beberapa cadangan senarai penyelesaian kejuruteraan bekalan air berdaya maju dan kos efektif, yang akan lebih melindungi pengguna air Pulau Pinang daripada kesan insiden Sungai Muda di Kedah pada masa depan.
"Ia termasuk menyelesaikan masalah di saluran paip pelepasan kecemasan 400 juta liter sehari (JLH), kerja prarawatan air mentah, kemudahan takungan air mentah pinggiran sungai (TAPS), kolam pengimbang 2 Sungai Dua dan naik taraf kerja rawatan Sungai Dua," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pathmanathan berkata, pelan SM-CMP dicadangkan susulan maklum balas, aduan dan ketidakpuasan hati orang ramai yang berdepan kekerapan berlaku krisis bekalan air.
Katanya, PBAPP memberi perkhidmatan kepada pangkalan pelanggan sebanyak 676,857 pengguna air di Pulau Pinang dan kira-kira 465,004 atau (68.7 peratus) daripada mereka bergantung kepada air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang merawat air mentah diabstrak daripada Sungai Muda.
"Sejak Julai 2022, terdapat tiga krisis air di seluruh di Pulau Pinang iaitu air banjir Baling 1 pada Julai 2022; penurunan mendadak paras sungai pada Mei lalu dan air banjir Baling 2 pada September lalu.
"Semua tiga kejadian itu berpunca daripada insiden membabitkan Sungai Muda di Kedah. Tanpa SM-CMP, bekalan air mereka di Pulau Pinang mungkin terjejas setiap kali kejadian Sungai Muda berlaku," katanya.
Sementara itu, Pathmanathan berkata, Fasa 2B Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) yang sepatutnya disiapkan tahun ini ditangguhkan lagi dan dijadualkan semula ke awal Januari 2024 membabitkan pemasangan saluran paip berdiameter 7km x 1.6m dari Rumah Pam Mak Sulong berhampiran Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) ke Terusan Sungai Dua.
"Ketika ini, PBAPP hanya boleh melepaskan maksimum 300JLH daripada EMD dan tiga ratus JLH tidak mencukupi. LRA Sungai Dua memerlukan kira-kira 1,100 JLH air mentah setiap hari untuk menghasilkan 1,000 JLH air terawat.
"Apabila Fasa 2B dimulakan, kapasiti pengeluaran maksimum akan ditingkatkan kepada 600 JLH. Jika kita tambah pada cadangan saluran paip pelepasan kecemasan 400 JLH baharu (seperti dicadangkan di bawah SM-CMP), jumlah kapasiti pengeluaran maksimum EMD seterusnya ialah 1,000 JLH, yang akan cukup hampir 1,100 JLH yang LRA Sungai Dua perlukan untuk beroperasi secara optimum," katanya. – BERNAMA