|
MUDRYK berjaya membuka akaun golnya bersama Chelsea sejak berhijrah pada Januari lalu ketika pasukan itu menewaskan Fulham awal pagi semalam. - AFP
LONDON – Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino memuji impak yang dipamerkan oleh pemain sayap sensasi, Mykhailo Mudryk selepas membantu pasukan melakar kemenangan 2-0 ke atas Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Craven Cottage, Mudryk menjaringkan gol pertamanya untuk skuad The Blues sejak berhijrah pada Januari lepas dengan satu lagi jaringan disumbangkan oleh penyerang muda, Armando Broja.
Kata Pochettino, barisan pemain mula menunjukkan peningkatan selepas dibelenggu prestasi tidak meyakinkan pada awal musim ini selain berharap momentum positif itu dapat dikekalkan daripada masa ke semasa.
“Kami layak untuk menang perlawanan ini kerana pada babak pertama, kita bermain jauh lebih baik berbanding Fulham. Sementara itu pada separuh masa kedua, kita pula dapat menguasai perlawanan dengan baik untuk mengekalkan kedudukan.
“Sudah tentu saya sangat lega apabila kita dapat meraih kemenangan yang boleh dikatakan cukup penting selepas apa yang berlaku sejak awal musim ini dan keputusan positif ini didedikasikan buat penyokong kami.
“Jika ditanyakan mengenai pemain yang cemerlang, sudah tentu pujian wajar diberikan kepada Mudryk kerana dia berjaya menjaringkan gol pertama dalam pentas EPL selepas lebih sembilan bulan bersama pasukan.
“Saya faham pemain-pemain muda sepertinya perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan liga di negara baharu dan saya percaya akan terus cemerlang andai mengekalkan rentak konsisten musim ini,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/10 ... ol-mudryk-berakhir/ |
|