|
PEMAIN Korea Utara, Kim Kyong Sok (tengah) dan rakan sepasukannya cuba menyerang pengadil selepas aksi suku akhir bola sepak Sukan Asia Hangzhou, semalam. FOTO AFP
Hangzhou: Jurulatih skuad bola sepak Korea Utara, Sin Yong Nam mempertahankan pemainnya selepas mereka menyerang pengadil di padang susulan kekalahan 1-2 di tangan Jepun pada aksi suku akhir Sukan Asia Hangzhou, semalam.
Kapten Korea Utara, Jang Kuk Chol dan rakan sepasukannya, Kim Kyong Sok membantah dan mengejar pengadil dari Uzbekistan, Rustam Lutfullin selepas wisel penamat ketika beliau cuba keluar dari padang.
Ketika kekecohan itu menarik tumpuan penolong pengadil dan beberapa kakitangan keselamatan, jurulatih Korea Utara itu turut berlari ke arah pemainnya untuk cuba meredakan keadaan.
Sebelum itu, pemain Korea Utara berang apabila Lutfullin menghadiahkan sepakan penalti kepada Jepun selepas penjaga gol, Kang Juh Yok meluru keluar dari kawasannya sebelum menjatuhkan Jun Nishikawa.
Sambil mengangkat tangan dan menggelengkan kepala, Juh Yok membantah kepada pengadil sebelum Yuta Matsumura menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-80 untuk membantu Jepun mara di Stadium Pusat Sukan Xiaoshan.
"Saya akui pemain kami agak teruja dalam perlawanan ini, tetapi inilah bola sepak," kata Yong Nam pada sidang akhbar selepas perlawanan.
"Tetapi memang ada konfrontasi dalam perlawanan bola sepak...saya fikir sikap kami boleh diterima."
Dalam pada itu, jurulatih Jepun, Go Oiwa enggan memberikan komen mengenai insiden itu.
"Perlawanan ini seperti yang kami jangkakan," katanya menerusi seorang penterjemah.
"Ada beberapa perkara yang kami tidak gembira mengenai perlawanan ini, tetapi secara asasnya kami boleh menerimanya."
Kotaro Uchino meledak gol pertama buat Jepun apabila percubaannya terbias pemain Korea Utara pada minit ke-50 sebelum Kim Kuk Bum menyamakan kedudukan menerusi satu percubaan jarak jauh.
Jepun layak ke separuh akhir bertemu Hong Kong yang mengejutkan bekas juara, Iran 1-0.
Manakala juara bertahan, Korea Selatan mara ke separuh akhir dengan kemenangan selesa 2-0 ke atas tuan rumah China.
Mereka berdepan Uzbekistan yang menewaskan Arab Saudi 2-1 pada aksi terdahulu.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... gadil-selepas-kalah |
|