|
ANTARA aksi Sri Pahang bertemu Kuching City di Stadium Darul Makmur. FOTO FP SRI PAHANG FC
Kuantan: Misi tiga mata Sri Pahang FC menjadi kenyataan selepas menewaskan Kuching City FC 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.
Namun, kemenangan skuad Tok Gajah itu bukannya mudah buat tuan rumah selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada babak pertama sebelum Sri Pahang menambah satu gol untuk mengesahkan tiga mata di halaman sendiri.
Pada perlawanan itu, tuan rumah bermula dengan cemerlang apabila berjaya menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan pemain import, Stefano Brundo seawal minit ke-12.
Jaringan itu hasil daripada penalti selepas penyerang Sri Pahang, Rafael Silva dijatuhkan Jemmy Raymond dalam kotak penalti.
Namun, selang tiga minit, Kuching City tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 hasil tandukan Pedro Henrique selepas menerima hantaran daripada kapten pasukan, Mohamad Alif Hassan.
Ketika kedua-dua pasukan menggandakan asakan dan berusaha menambah jaringan, Kuching City ternyata lebih padu apabila menjaringkan gol kedua menerusi Abu Kamara pada minit ke-25.
Sri Pahang yang memerlukan tiga mata berusaha dan memberi tekanan kepada pasukan pelawat yang menyaksikan Kuvondik Ruziev memastikan kedudukan 2-2 pada babak pertama perlawanan.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Fandi Ahmad menggandakan asakan ke kubu lawan dengan beberapa percubaan ke gawang Kuching City.
Pada minit ke-61, Rafael akhirnya meletakkan Sri Pahang kembali di depan apabila menjaringkan gol ketiga buat skuad Tok Gajah.
Tuan rumah hampir menambah jaringan tetapi tandukan lemah pemain gantian, David Rowley mudah diselamatkan penjaga gol lawan, Wan Muhammad Azraei Wan Teh pada minit akhir perlawanan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ewakan-kuching-city |
|