|
Neymar (tengah) yang memakai jubah berjenaka bersama rakan sepasukan ketika menyambut Hari Kebangsaan Arab Saudi kelmarin. – Foto Twitter AlHilal Saudi Club
LONDON: Neymar menyelar satu laporan mendakwa dia meminta ketua jurulatih Al-Hilal, Jorge Jesus meletak jawatan, menegaskan dalam media sosial tuduhan itu satu 'penipuan.'
Bintang Brazil itu melakukan penampilan sulung yang dinanti-nanti buat Al-Hilal pada 16 September lalu selepas perpindahan bernilai £78 juta (RM446 juta) ke kelab Liga Pro Saudi itu, masuk pada minit ke-27 ketika menang besar 6-1 ke atas Al-Riyadh.
Kecederaan buku lali menyaksikannya berehat enam bulan dengan penampilan liga terakhirnya hadir buat Paris Saint-Germain (PSG) pada Februari lalu ketika menang 4-3 mengatasi Lille.
Dia gagal bermain sejurus berpindah ke Arab Saudi namun sejak penampilan pertama itu, pemain berusia 31 tahun itu beraksi dua perlawanan buat kelab - sekalipun tidak senaraikan dalam skuad ketika menang aksi Piala Raja menentang Al-Jabalain malam tadi.
Namun menurut satu akaun Instagram fiqueiputomesmo_, Neymar 'bergaduh' dengan pengurus kelab itu Jesus dan 'meminta kelab itu supaya memecat pengurus serta-merta.'
Neymar (dua dari kanan) beraksi tiga perlawanan liga bersama Al-Hilal sejak berpindah dari PSG pada musim panas ini. – Foto Twitter AlHilal Saudi Club
Bekas bintang Barcelona dan PSG itu pantas membidas dakwaan itu di platform media sosial, melabelkannya sebagai 'berita palsu.'
Dia menulis sebagai balasan kepada hantaran di Instagram itu: "Penipu... anda semua harus berhenti daripada percaya dengan perkara ini, halaman seperti ini... dengan berjuta pengikut anda tidak boleh berterusan menyiarkan berita palsu!
"Dengan penuh hormat, saya meminta anda untuk menghentikan perkara ini. Ini ternyata tidak menghormati."
Al-Hilal melantik semula jurulatih dari Portugal itu pada musim panas ini, selepas beliau mengemudi mereka menjuarai Piala Super Saudi pada musim 2018-19.
Neymar, yang tiba di kelab baharunya bersama bekas pemain Liga Perdana Inggeris, Ruben Neves, Aleksandar Mitrovic dan Kalidou Koulibaly, masih belum mencetak sebarang gol bersama Al-Hilal setakat ini. – AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... dengan-berita-palsu |
|