|
GUARDIOLA beri peluang kepada pemain simpanan beraksi di Piala Liga.
London: Pengurus Manchester City Pep Guardiola mengakui Piala Liga bukan keutamaan kelab gergasi Inggeris itu.
Citizens yang menjuarai tiga trofi musim lalu sebelum ini memandang serius cabaran Piala Liga sejak di bawah kendalian Guardiola.
Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu menegaskan dia tidak akan membazirkan walau satu peratus tenaga daripada barisan kesebelasan utamanya.
"Beberapa pemain yang mempunyai banyak minit permainan tidak akan beraksi menentang Newcastle," katanya kepada wartawan semalam.
"Piala Liga bagus untuk pemain simpanan yang jarang diturunkan. Ini peluang untuk mereka tunjuk kemampuan dan bagus untuk pemain ini.
"Tetapi kepada pemain lain, saya tidak akan membazirkan satu peratus daripada tenaga untuk Piala Liga. Pemain seperti Kyle, Ruben beraksi 90 minit untuk kami, 90 minit untuk skuad kebangsaan dan mereka penat dengan tugasan itu."
"Itu sebabnya kami akan beraksi dengan pemain yang lebih memerlukannya, mungkin pemain akademi. Belakang saya semakin baik, jadi saya mungkin akan uruskannya beberapa minit!"
Manchester City akan berkunjung ke St James' Park untuk menentang Newcastle United dalam aksi pusingan ketiga Piala Liga awal pagi Khamis ini.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ukan-keutamaan-city |
|