|
Pemain Johor Darul Ta'zim lll meraikan gol pada perlawanan akhir pertama Piala Presiden menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman. - NSTP/AZRUL EDHAM
SEREMBAN: Skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) III memperoleh bekalan selesa apabila membenam Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-1
pada final pertama Piala Presiden di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Kemenangan di laman lawan itu jelas memberi kelebihan buat JDT III untuk merangkul kejuaraan Piala Presiden apabila final kedua yang akan berlangsung di laman sendiri, 1 Oktober ini.
Pelawat tidak menunggu lama untuk mendapatkan jaringan apabila Muhammad Aiman Danish Abdul Azim memanfaatkan bola hantaran lintang daripada Fergus Tierney dengan menanduk kemas ke dalam gawang menewaskan penjaga gol NSFC, Aif Danish Saifudin pada minit ketujuh.
Meskipun selepas itu mereka diberi tentangan yang sengit oleh tuan rumah, namun ia tidak menggugat persembahan skuad bimbingan Sanz Zaballos Gonzalo apabila mereka menambah gol kedua pada minit ke-20.
Gol berkenaan berpunca daripada keadaan kucar-kacir dalam kotak penalti NSFC dan ia memberi ruang kepada Ahmad Asyar Hadi Mohd Hanapi untuk merembat ke dalam gawang tuan rumah.
Negeri Sembilan yang cuba memperkemaskan jentera serangan sebaik memasuki separuh masa kedua dilihat berjaya melakukan sekurang-kurangnya empat percubaan ke arah pintu gol JDT III, namun tidak tepat atau ditangkis penjaga gol, Zulhilmi Sharani yang beraksi cemerlang.
Situasi itu jelas mengecewakan anak buah Azlan Ahmad, malah mereka terus berdepan tekanan apabila Abdul Mubin Ab Wahad dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd Hasrul A Rahman pada minit ke-69 selepas mengasari pemain JDT III.
Kekurangan tuan rumah beraksi dengan 10 pemain dimanfaatkan pelawat apabila Tierney menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-75.
Ketika perlawanan hampir ke penghujungnya, Negeri Sembilan mendapat gol sagu hati menerusi tandukan Muhammad Danish Syamer Tajuddin pada minit ke-90.
https://www.bharian.com.my/sukan ... lang-piala-presiden |
|