|
Pemain pasukan Central Coast Mariners FC, Nathan Paull (tiga, kanan) tertampan bola ke gol sendiri pada aksi menentang TFC pada aksi Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak. - BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Pengendali kelab Australia, Central Coast Mariners, Abbas Saad menyifatkan anak buahnya tidak bernasib selepas dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi pertama Kumpulan G saingan Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.
Jelas bekas pemain import Kelantan dan Johor itu, deretan peluang terhidang yang dimiliki anak buahnya membuktikan skuadnya berpeluang besar untuk melakar kemenangan pada aksi sulung itu.
Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya sekali gus menyaksikan bekas pemain kebangsaan Australia kelahiran Lubnan itu kecewa apabila melihat penyudah tumpul barisan penyerang biarpun mendominasi permainan terutama pada babak pertama.
Bagaimanapun jurulatih yang pernah menyarung jersi 13 kelab berbeza sepanjang kariernya sebelum menggantung but pada 2016 enggan menyalahkan 100 peratus anak buahnya berikutan kekalahan itu.
"Kami akan balik dan memperbaiki kelemahan yang ada dalam masa dua minggu sebelum perlawanan kedua nanti untuk melakar kemenangan pertama lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri," katanya selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan itu, gol kemenangan skuad Penyu hasil jaringan sendiri pertahanan pelawat, Nathan Paull pada masa kecederaan babak pertama sekali gus menyaksikan skuad TFC menghuni di tangga kedua kumpulan di belakang pendahulu, Bali United dari Indonesia yang melakar kemenangan 5-2 menumpaskan kelab Filipina, Stallion Laguna FC.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ewa-penyudah-tumpul |
|