|
KOTA BHARU –Apih Kulim disahkan maut akibat terkena tujuh das tembakan pada kepala dan dadanya dalam kejadian di Kampung Hutan Kuin, Machang pada Ahad lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tembakan pada kedua-dua anggota badan mangsa yang juga seorang pemilik bengkel itu dikenal pasti semasa proses post mortem dijalankan di Hospital Machang dekat sini.
Dua pucuk pistol milik mangsa yang dipercayai digunakan untuk pelbagai aktiviti haram turut ditemui di kawasan lain.
Foto: Kosmo
“Siasatan mendapati, kejadian tersebut tercetus selepas berlaku pergaduhan di dalam kumpulan yang dipercayai diketuai oleh mangsa sendiri.
“Sehubungan itu, polis menahan empat suspek berusia 25 hingga 36 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu. Penahanan keempat-empat suspek juga dapat merungkai beberapa kumpulan lain yang aktif menjalankan kegiatan haram terutamanya pengedaran dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, empat suspek yang ditahan itu mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk penyalahgunaan dadah, bergaduh, ugut dan menyebabkan kecederaan parah.
Menurutnya, polis sudah memanggil seramai 25 saksi termasuk rakan mangsa, keluarga dan individu yang berada di lokasi kejadian untuk membantu siasatan kes tersebut.
“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu. Selain itu, polis juga sedang memburu individu yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang termasuk pengedaran dadah bersama mangsa,” ujarnya.
Muhamad Zaki berkata, keempat-empat suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. – CARI
Sumber: Kosmo |
|