|
GAVI (kiri) meraikan jaringannya bersama-sama Joao Felix. FOTO REUTERS
Barcelona: Joao Felix menjaringkan dua gol ketika Barcelona membelasah Royal Antwerp 5-0 pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Selepas sering tersingkir pada peringkat kumpulan, Barcelona terdesak untuk mara lebih jauh dalam saingan musim ini dengan kali terakhir memenanginya lapan tahun lalu.
Kemenangan itu menyusul selepas membelasah Real Betis 5-0, Sabtu lalu sekali gus jurulatih, Xavi Hernandez menyifatkan kedua-dua persembahan itu sebagai yang terbaik sejak beliau menyertai kelab itu pada November 2021.
"Saya rasa dua perlawanan terakhir ini adalah aksi terbaik yang kami tunjukkan sepanjang saya sebagai jurulatih," katanya kepada Movistar.
Felix menyinar bersama juara Sepanyol itu sambil di bantu gol sendiri pihak lawan manakala Robert Lewandowski dan Gavi turut menjaringkan gol.
Selepas berdepan kesukaran di Atletico Madrid dan malah lebih teruk ketika dipinjamkan ke Chelsea, penyerang Portugal itu akhirnya dilihat kembali kepada prestasi sebenar.
"Kami semua bermain dengan sangat baik, saya gembira dengan kemenangan ini.
"Perkara paling sukar sekarang adalah untuk mengekalkan tahap ini. Saya sudah bermula dengan baik, pasukan juga bermain dengan baik.
"Mencapai tahap seperti sekarang tidak sukar kerana yang paling sukar adalah untuk mengekalkannya. Kami semua perlu bekerja keras untuk melakukannya," kata Felix.
Kali terakhir Barcelona memenangi Liga Juara-Juara adalah pada 2015 iaitu ketika jurulatih sekarang, Xavi menjadi watak penting di bahagian tengah.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... elang-bedal-antwerp |
|