|
HABIB (kanan) kali kedua beraksi di Piala AFC. FOTO Bernama
Kuala Terengganu: Kapten Terengganu FC (TFC), Habib Haroon akui teruja selepas berpeluang untuk melakukan penampilan kedua di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini.
Jelas pemain kelahiran Bahrain berusia 23 tahun itu, pengalaman pertama beraksi di pentas Asia itu bersama kelab negaranya, Al-Khalidiya SC pada 2020 bakal dimanfaatkan sepenuhnya untuk berdepan juara Liga Australia musim lalu, Central Coast Mariners pada aksi pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.
Pemain yang menyarung jersi Terengganu sejak 2021 bagaimanapun akui tugasannya bersama rakan sepasukan tidak semudah perancangan di atas kertas lebih-lebih lagi skuad kendalian Abbas Saad itu mempunyai kualitinya yang tersendiri.
Bagaimanapun 'arkitek' skuad Penyu itu menjelaskan dia dan rakan sepasukannya tidak sesekali gentar dengan reputasi pasukan lawan biarpun saiz fizikal pemain pasukan itu lebih tinggi berbanding pemain Terengganu.
"Sejujurnya kami sudah bersedia dan begitu teruja untuk berdepan kelab Australia itu lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri selepas kali terakhir Terengganu layak ke saingan Piala AFC ini pada 2021, namun terpaksa dibatalkan berikutan wabak pandemik Covid-19.
"Ini kali kedua saya bermain dalam saingan Piala AFC ini, sudah pasti ia saingan yang hebat seolah-olah seluruh dunia menyaksikannya dan semua pemain pastinya mahu bermain dalam saingan ini.
"Jadi saingan kali ini memberikan peluang buat kami bersaing hebat selepas gagal beraksi dua tahun lalu, kami berterima kasih kepada semua jurulatih dan pemain kerana musim lepas skuad kami berjaya layak ke saingan ini," katanya ketika ditemui pada sidang media menjelang perlawanan itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, hari ini.
Ketika ditanya mengenai pujian yang diberikan pengendali pasukan Central Coast Mariners itu terhadapnya selepas beraksi cemerlang bersama Terengganu, Habib mengucapkan terima kasih kepada bekas penyerang import Johor musim 1991/1992 itu.
"Bagi saya ia satu pujian, terima kasih dan saya gembira dengan pengiktirafan jurulatih itu, tapi Terengganu mempunyai ramai lagi pemain bagus," katanya dengan nada gembira.
Selain kelab Australia itu, Terengganu yang diundi dalam Kumpulan G bakal berdepan kelab dari Indonesia, Bali United dan kelab Filipina, Stallion Laguna FC.
Kali terakhir Terengganu bermain di pentas Asia pada 2012, namun hanya di pusingan 16.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... /ikrar-kapten-habib |
|