|
AKSI antara Kelantan United dan Kelantan malam tadi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kota Bharu: Kelantan United Football Club (KUFC) tidak memberi muka apabila membenam 'abang' senegeri, Kelantan FC dengan keputusan 7-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala Cabaran 2023, malam ini.
Terlebih dahulu Kelantan United mendahului dengan rembatan kencang Dominik Balic pada minit ke sembilan di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.
Selang 10 minit kemudian, Kijang Hijau terus menambah gol dengan tandukan Ismaheel Akinade yang menerima sepakan sudut pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin.
Kedua pasukan terus buntu menambah jaringan hingga tamat babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Indra Putra terus menjarakkan jurang dengan gol ketiga di minit ke 59.
Rembatan jarak dekat Mohd Faiz Mohd Nasir berjaya merobek gawang pelawat untuk gol keempat pada minit ke 74.
Pemain gantian, S Sharvin mudah melorongkan masuk gol kelima buat Kijang Hijau, lima minit kemudian.
Kelantan United terus menuai tuah menerusi pemain gantian apabila Royizzat Daud merembat deras dua gol akhir selang seminit pada minit 88 dan 89 untuk gol keenam dan ketujuh.
Keputusan 7- 0 kekal menoktahkan kemenangan bergaya Kelantan United ke atas anak buah Angel Alfredo Vera di hadapan 710 penonton di stadium.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... rtama-piala-cabaran |
|