|
KANE dijangka menjadi watak penting Bayern untuk pertembungan dengan Man United, awal pagi Khamis ini. FOTO AFP
London: Penyerang Bayern Munich, Harry Kane bakal menjadi tonggak penting apabila Manchester United bertandang ke Jerman untuk pertembungan Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini, kata Rio Ferdinand.
Kapten England itu meninggalkan kelab zaman kanak-kanaknya, Tottenham Hotspur musim panas lalu untuk menyertai juara Bundesliga itu, meskipun Old Trafford berminat mendapatkan khidmatnya.
Kane sudah mempamer aksi cemerlang bersama kelab baharunya itu, meneruskan prestasi selaku peledak gol sepertimana ketika di Spurs.
Bekas bintang United, Ferdinand percaya Kane cukup bersemangat untuk menentang United dalam perlawanan pertama Bayern di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dekat Allianz Arena, awal pagi Khamis ini.
"Saya tidak sabar menantikan perlawanan itu. Dua kelab yang mempunyai sejarah besar," kata Ferdinand kepada TNT Sports sebelum pertembungan antara kedua-dua kelab.
"Latar belakang Harry Kane juga menarik minat perlawanan itu. Seorang kapten England dan pemain di mana ramai penyokong United mahu dia memakai jersi United.
"Dia seorang pemain yang luar biasa, rekodnya membuktikan segala-galanya.
"Dia pernah beraksi sebelum ini di Liga Juara-Juara, malah pernah melangkah ke pentas final (pada 2019) tetapi tidak dapat memenanginya. Dia belum pernah memenangi sebarang kejuaraan, jadi dia pasti cukup teruja beraksi pada perlawanan itu.
"Saya tidak fikir ada mana-mana pemain di bilik persalinan United yang memandang rendah kemampuannya," katanya lagi.
Kane tidak pernah memenangi trofi sepanjang tempoh 13 tahun bersama Spurs tetapi hampir menjulang trofi pertama pada 2018/19 apabila mereka mara ke final Liga Juara-Juara namun tewas kepada Liverpool.
United dilaporkan berminat terhadap pemain berusia 30 tahun itu pada musim panas lalu tetapi akhirnya membawa masuk pemain muda, Rasmus Hojlund dari Atalanta untuk mempertajamkan barisan serangan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... us-resah-man-united |
|