View: 6016|Reply: 0
|
Bergson, Juan cetus resah Kawasaki Frontale
[Copy link]
|
|
KETUA jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Oniki (kiri) bersama kapten pasukan, Kento Tachibanada (kanan) senada mampu menjinakkan Johor Darul Ta'zim (JDT). FOTO RIZAR MOHD NOOR
Iskandar Puteri: Pengendali Kelab Liga 1 Jepun (Liga J1), Kawasaki Frontale, Toru Oniki sedar perlawanan yang sukar menanti pasukannya apabila berhadapan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.
Oniki juga sedar dengan kredibiliti kesebelasan pemain JDT dan mahu anak didiknya untuk merantai kesemua pemain yang diturunkan bagi mengelak kekalahan kerana sedar akan kualiti yang ada pada kombinasi serangan JDT.
"Kami gembira dapat menyertai saingan ACL sekali lagi. Kami kembali ke Johor dan sedar ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar apabila berhadapan JDT dan kami mahu lakukan yang terbaik pada aksi malam esok.
"Pasukan kami juga sedar yang JDT semakin berkembang dan mereka mempunyai pemain yang baik dari segi corak permainan individu. Ia sukar tetapi apa yang penting kami sentiasa mahu memenangi aksi pertama dalam saingan kumpulan itu.
"Pemain kami perlu merantai kesemua pemain JDT terutama pemain nombor 9 (Bergson Da Silva) dan nombor 20 (Juan Muniz) serta semua pemain serangan kerana mereka sangat berbahaya," katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.
Kawasaki Frontale tampak merancang untuk memburu gol awal untuk memastikan mereka dapat mengawal perlawanan sebaik wisel permulaan kerana tahu suasana Stadium Sultan Ibrahim yang menakjubkan boleh membantu JDT melakar kejutan.
"Dari pengalaman yang lalu, kami mesti jaringkan gol awal kerana keadaan di stadium ini sangat menakjubkan dan kami perlu mengawal perlawanan dari awal jika ingin menang.
"Kami cuba perbaiki setiap masa dan akan beri saingan ketika perlawanan meskipun kami mempunyai lapan pemain baharu yang dinaikkan pangkat dari skuad remaja berbanding skuad tahun lalu," jelasnya.
Sementara itu, ketua pasukan Kawasaki Frontale, Kento Tachibanada juga senada dengan ketua jurulatihnya dan mahu mencipta kemenangan dalam perlawanan pertama kerana ia penting untuk membina momentum dalam saingan ini.
"Sasaran kami untuk muncul juara dalam kumpulan itu dan memenangi perlawanan pertama kerana ianya penting untuk mendapat momentum yang baik dalam kejohanan ini dan kami akan lakukan yang terbaik dari awal dan kawal perlawanan," katanya dalam sidang media yang sama.
Tachibanada juga mengenali pemain tengah JDT, Takahiro Kunimoto yang dianggap cukup berbahaya dan dia sebagai pemain tengah mahu memastikan rakan senegaranya itu dikunci rapat supaya tidak dapat bergerak bebas di dalam padang.
"Saya kenal dia dan dia bagus dan akan sekat dia dan pastikan dia tidak bebas di atas padang. Kami yakin tetapi kami faham JDT pasukan yang kuat dan keadaan di sini sangat bagus tetapi kami mahu mencatatkan kemenangan dan saya pasti ianya akan menjadi satu perlawanan berintensiti tinggi," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... h-kawasaki-frontale |
|
|
|
|
|
|
| |
|