|
ANTARA aksi Bournemouth bertemu Chelsea, semalam. FOTO REUTERS
Bournemouth: Mauricio Pochettino menegaskan beliau tidak akan membalas kritikan penyokong Chelsea yang mengejek pasukannya selepas seri 0-0 ketika menentang Bournemouth, semalam.
The Blues melakukan permulaan terburuk kali kedua dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mempamer prestasi hambar di Stadium Vitality.
Dengan hanya satu kemenangan daripada lima perlawanan liga, Chelsea semakin hampir ke zon penyingkiran berbanding empat teratas.
Ia adalah permulaan yang buruk di bawah bimbingan Pochettino dan untuk perlawanan kedua berturut-turut pasukannya diejek oleh penyokong mereka.
Pemain pertahanan Chelsea, Ben Chilwell dilihat menerima ejekan lebih teruk apabila menghampiri penyokong The Blues di satu sudut stadium selepas wisel penamat.
Walaupun membelanjakan lebih £1 bilion (RM5.8 bilion) sejak konsortium Todd Boehly membeli Chelsea daripada Roman Abramovich pada 2022, situasi kelab London barat itu lebih teruk berbanding sebelumnya.
Di sebalik krisis kecederaan yang memaksa Pochettino menyenaraikan tiga pemain mentah berusia bawah 19 tahun di bangku simpanan serta dua penjaga gol, pengendali dari Argentina itu berkata dia tidak boleh berbuat apa-apa berhubung ejekan penyokong itu.
"Apa yang boleh kami lakukan? Bagi saya tiada apa-apa untuk diperkatakan. Peminat boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu.
"Kami tahu apa yang perlu kami lakukan dan percaya dengan kemampuan diri sendiri. Terdapat 12 pemain yang cedera dan kami meletakkan tiga atau empat pemain muda serta dua penjaga gol di bangku simpanan.
"Adakah saya akan menangis? Adakah saya perlu mengeluh? Kepada siapa? Saya perlu menerima semua cabaran dan terus bersikap positif," kata Pochettino.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... k-penyokong-sendiri |
|