|
JOSELU (kanan) meraikan jaringannya bersama Bellingham. FOTO REUTERS
Barcelona: Real Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Real Sociedad 2-1, awal pagi tadi dan kembali ke puncak La Liga untuk mengekalkan permulaan sempurna musim ini.
Selepas Barcelona meledak lima gol ketika mengatasi Real Betis, Madrid di bawah kendalian Carlo Ancelotti perlu mengekalkan rekod 100 peratus mereka dan tugas itu dilaksanakan dengan baik.
Real Sociedad mendahului menerusi jaringan Ander Barrenetxea, tetapi Madrid membalas hasil gol Fede Valverde dan Joselu untuk kemenangan kelima mereka daripada lima perlawanan.
Pemain antarabangsa England, Jude Bellingham tidak dapat meneruskan prestasi cemerlang selepas menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan pertama Madrid, tetapi kekal sebagai penjaring gol terbanyak La Liga.
Madrid akan memulakan kempen Liga Juara-Juara pada Khamis ini di laman sendiri menentang Union Berlin, dan walaupun kehilangan pemenang Ballon d'Or, Karim Benzema pada musim panas serta Vinicius Junior, yang mengalami kecederaan, mereka tetap berbisa.
"Kami terus kekal percaya, kami tahu apabila beraksi di laman sendiri, sokongan yang kami terima sangat luar biasa," kata pemain pertahanan kiri Fran Garcia, yang mencipta kedua-dua gol.
"Saya gembira dapat membantu pasukan, sekarang kami perlu memikirkan perlawanan seterusnya yang akan datang tidak lama lagi," katanya lagi.
Garcia yang muncul melalui sistem remaja Real Madrid, berpindah ke Rayo Vallecano sebelum Los Blancos membawanya kembali pada musim panas.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... gkit-benam-sociedad |
|