|
SAINGAN Liga M musim depan mungkin akan mengikut kelendar saingan Eropah bagi memberikan ruang pemain berehat serta persekitaran sihat bagi skuad negara.
KEMPEN Liga Malaysia (Liga M) bakal menjalani fasa revolusi baharu pada musim depan dengan menggunakan kalender ‘standard’ benua Asia apabila saingan dijangka bermula pertengahan tahun 2024.
Sebagai rekod, saingan liga di beberapa negara utama Asia telah mengikut saranan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan menggunakan format sama seperti yang dilakukan kancah bola sepak Eropah.
Aksi liga seperti di Indonesia, Thailand, Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi sudah memulakan kempen musim baharu di pertengahan tahun seawal Julai atau Ogos dan berakhir pada Mei tahun berikutnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam mengesahkan transisi kalendar itu kemungkinan dijalankan bermula seawal musim depan.
Kata Stuart, perubahan itu dibuat kerana terdapat kejohanan utama seperti Piala Asia 2023, Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC yang akan memberi kesan kepada kalendar asal Liga M.
“Bagi saingan musim depan, kita sedang buat perbincangan dalaman dan sudah berbincang dengan kelab-kelab selain PFAM (Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia) untuk pastikan kalendar kita selari dengan kalendar AFC.
“Langkah ini juga untuk memastikan jendela perpindahan Liga M selari dengan liga-liga Asia dan antarabangsa.
“Jadi, apabila transisi dilaksanakan nanti, kita mungkin akan mempunyai musim yang terdiri dari dua tahun bermula musim 2024/2025. Saya akan buat pengumuman tidak lama lagi selepas perbincangan diadakan dengan pemegang taruh,” katanya ketika ditemui.
Mengulas lanjut, penukaran format berkenaan juga bakal memberi kesan positif buat skuad Harimau Malaya selain memastikan tempoh rehat para pemain mencukupi serta membolehkan pasukan membuat persediaan rapi sepanjang aksi pramusim.
“Kita juga melihat keperluan untuk menganjakkan kalendar Liga M mengikut kalendar AFC untuk selarikan tempoh rehat bagi memastikan prestasi pasukan kebangsaan termasuk bawah umur.
“Malah, untuk ini kita juga sedang buat kajian kerana kita tahu ada perbezaan cuaca dan konteks tempatan yang perlu diambil kira,” katanya.
Skuad Harimau Malaya akan bersaing pada saingan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari depan, manakala skuad B-23 negara juga akan bersaing pada Piala Asia B-23 2024 pada April di negara Asia Barat itu.
Difahamkan, antara cadangan awal saingan Liga M musim 2024/2025 akan bermula seawal Julai depan dengan aksi pramusim bermula pada Mei nanti.
https://www.kosmo.com.my/2023/09 ... ut-kalendar-eropah/ |
|