|
Lirik mulanya kosong
DR SAM tak sangka lagu Saya Anak Malaysia boleh bertahan hingga ke hari ini.
Walaupun sudah 37 tahun dicipta, lagu Saya Anak Malaysia nyanyian dR Sam Rasputin terus diingati segenap lapisan masyarakat hingga hari ini.
Lagu itu kedengaran ringkas, tetapi terkandung nilai positif dan semangat cintakan negara hingga mampu kekal menjadi lagu patriotik malar hijau.
dR Sam atau nama sebenarnya, Salim Ibrahim yang kini berusia 70 tahun berkata, dia tidak menyangka bermula hanya dengan sehelai kertas kosong, lagu Saya Anak Malaysia mampu bertahan dan menjadi kesukaan rakyat Malaysia.
Katanya, permulaan lagu itu bermula apabila dia meminta sahabatnya yang juga penulis lirik terkenal, S Amin Shahab menulis lirik lagu untuknya, tetapi berakhir dengan kertas kosong.
"Apabila berjumpa kembali dengannya, dia belum siapkan lirik, sebaliknya diberikan kepada saya kertas kosong.
"Selepas itu dia bertanya kepada saya lahir tahun berapa dan saya cakap 1953. Dari situ Amin berikan idea jadi saya masukkan perjalanan hidup yang banyak berhijrah termasuk ke luar negara.
KULIT album Saya Anak Malaysia nyanyian dR Sam & Musafir.
"Lagu itu pada awalnya mempunyai dua versi tetapi versi kedua itu diubah lebih kepada patriotik," katanya di sidang media selepas majlis pelancaran klip video Saya Anak Malaysia dihasilkan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Etiqa bersama pemandiri kanser sempena Hari Malaysia di Bukit Katil, Melaka, baru-baru ini.
Menurutnya, dia tidak sangka lagu turut mendapat sentuhan Datuk M Nasir itu bertahan, malah satu penghormatan buatnya apabila terus mendapat sambutan.
"Ketika awal dulu ia seakan lagu biasa, tidak banyak sambutan seperti sekarang ini.
"Memang tidak sangka tetapi itulah perancangan yang kita tidak tahu, malah saya sentiasa sedia bekerjasama serta berkongsi mengenai lagu Saya Anak Malaysia ini.
"Bagi saya satu penghormatan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak seperti dengan NCSM ini kerana mesej itu dapat menyuntik semangat patriotisme dalam diri semua rakyat Malaysia," katanya.
dR Sam berkata, selepas tidak lagi aktif menyanyi, fokus utamanya kini dalam aktiviti dakwah.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/rap/20 ... irik-mulanya-kosong
|
|