|
TANPA Lionel Messi, Argentina tetap mampu menumpaskan Bolivia 3-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Hernando Siles, La Paz. - AFP
LA PAZ, Bolivia: Juara dunia, Argentina merehatkan Lionel Messi tetapi masih mampu melakar kemenangan 3-0 ke atas Bolivia, yang menutup saingan dengan 10 pemain pada kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan hari ini.
Begitupun, dalam satu lagi perlawanan tumpuan menyaksikan Uruguay tewas 2-1 di Ecuador.
Messi yang mempunyai jadual padat bersama kelabnya Inter Miami hanya memerhatikan rakan-rakan sepasukan beraksi dari bangku simpanan tetapi tidak disenaraikan sebagai gantian setelah mengadu keletihan selepas menjaringkan gol kemenangan dalam kemenangan 1-0 ke atas Ecuador, Khamis lalu.
Biarpun beraksi tanpa kapten mereka, skuad bimbingan Lionel Scaloni tidak berdepan masalah untuk menguasai perlawanan menerusi jaringan Enzo Fernandez, Nicolas Tagliafico dan Nicolas Gonzalez.
Pemain tengah Chelsea, Fernandez, melakukan percubaan hebat dari jarak 30 ela yang gagal diselamatkan penjaga gol Bolivia, Guillermo Viscarra untuk jaringan pembukaan Argentina pada minit ke-31.
Lapan minit kemudian, tugas Bolivia menjadi lebih sukar apabila Roberto Fernandez dilayangkan kad merah kerana mengakasari Cristian Romero.
Argentina menggandakan kedudukan 2-0 sebelum tamat babak pertama selepas Tagliafico menanduk bola hasil sepakan bebas yang diambil Angel Di Maria.
Juara Piala Dunia tiga kali itu mengawal permainan sepenuhnya memasuki separuh masa kedua dengan sepakan Julian Alvarez terkena tiang pada minit ke-70, dan Viscarra terus sibuk dengan percubaan Rodrigo De Paul serta Di Maria.
Gonzalez melengkapkan kemenangan Argentina, tujuh minit sebelum tamat permainan menerusi rembatan kaki kiri.
“Leo (Messi) belum bersedia untuk bermain, dia cuba pulih tetapi tidak berasa selesa,” kata Scaloni selepas tamat perlawanan. – AGENSI
https://www.utusan.com.my/sukan/ ... olivia-tanpa-messi/ |
|