|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/crime_2_1694536182.jpg)
GAMBAR hiasan
Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan sekumpulan individu yang berarak dari Tugu Negara ke Parlimen, di sini, untuk menyerahkan memorandum, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, semasa penugasan kawalan keselamatan memorandum di Tugu Negara jam 9 pagi tadi, pihaknya mendapati seramai 20 individu mahu berarak ke Parlimen.
"Pegawai polis bertugas menasihati kumpulan terbabit supaya tidak berarak kerana penyerahan memorandum itu sudah diselaraskan oleh pihak Parlimen untuk diadakan di Tugu Negara antara pihak penyerah dan penerima.
"Bagaimanapun, pihak penyerah tidak mengendahkan arahan daripada pihak polis dan meneruskan perjalanan ke Parlimen," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan berhubung insiden berkenaan.
"Pihak polis juga sudah mengenal pasti individu terbabit yang akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... dari-tugu-negara-ke |
|