|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0912rsstor_1694504533.jpg)
Keadaan terkini stor bekalan berkenaan selepas dibersihkan.
Gombak: Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (Pekeas) merayu sumbangan orang ramai selepas terputus bekalan keperluan harian berikutan stor simpanan di rumah perlindungan itu di Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini, musnah terbakar Sabtu lalu.
Warden rumah perlindungan itu, Rozita Osman berkata, dia menyedari kebakaran itu selepas azan Maghrib jam 7.20 malam semasa pelajar sedang bersiap menunaikan solat.
"Tanpa berfikir panjang saya panggil semua pelajar untuk keluar dan selamatkan diri.
"Ketika itu ada kira-kira 15 pelajar sedang bersiap untuk solat dan selepas semua pelajar dikeluarkan saya terus telefon bomba," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Menurutnya, dengan bantuan daripada jiran, api berjaya dikawal daripada merebak dengan lebih marak seterusnya dipadamkan oleh bomba yang tiba jam 7.30 malam.
Katanya, kebakaran itu memusnahkan pelbagai barang keperluan harian seperti pakaian seragam, bahan makanan kering dan sabun pencuci yang sepatutnya digunakan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan.
Kerani rumah perlindungan, Nazzatul Shima Mahamad berkata, mereka kini amat memerlukan sumbangan daripada orang ramai dalam bentuk makanan, tunai, atau bahan keperluan asas.
Katanya, kos operasi bulanan rumah perlindungan itu yang menempatkan 40 pelajar berusia antara 4 hingga 17 tahun terdiri daripada anak yatim, asnaf, mualaf dan kanak-kanak terbiar itu mencecah RM25,000 sebulan.
"Besar harapan kami jika ada yang sudi menyumbang keperluan barang dapur untuk anak-anak ini dan kita juga ada menjaga dua warga emas di sini.
"Sumbangan kewangan juga penting untuk kami baiki semula bahagian stor yang rosak akibat kebakaran itu," katanya.
Difahamkan barang keperluan yang amat diperlukan antaranya beras, susu pekat, Milo, Nescafe, gula, tepung, sardin, kicap, sos cili, biskut, minyak masak, sabun baju, sabun mandi, ubat gigi, dan syampu.
Untuk maklumat Pekeas adalah rumah kebajikan berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sumbangan barang keperluan boleh dihantar secara terus ke alamat nombor 37, Jalan Hijau 11/11, Blok 16 Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini atau sumbangan kewangan menerusi akaun Maybank Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur 5124-0000-3033.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... nan-musnah-terbakar |
|