|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2023-09-09_12-11-31_1694232821.jpg)
ADAM masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. FOTO Ihsan Nurul Atikah Mohd Halim
Kuala Lumpur: "Kenapa muka Adam macam ni (pelik), tak macam dulu," itu keluh kanak-kanak Mohamad Adam Naufal Abdullah, 10, yang melecur di bahagian muka dan kedua-dua belah tangan.
Adam memberi reaksi itu melalui panggilan video bersama adik-beradiknya ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk rawatan melecur 16 peratus, baru-baru ini.
Adam yang juga anak sulung daripada lima beradik itu melecur 16 peratus akibat disambar api dari tong cat yang meletup dalam timbunan sampah di Kampung Tengah, Kluang, Johor.
Ibunya, Nurul Atikah Mohd Halim, 28, berkata, bahagian muka dan kepala anaknya ketika ini perlu dibalut bagi mengelakkan sebarang jangkitan lain akibat kecederaan yang dialaminya.
"Itu yang dia cakap pelik (muka berbalut). Tak tahu sampai bila akan duduk di wad sebab setiap hari jururawat akan cuci kesan melecur," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menceritakan lanjut kejadian menimpa anaknya itu, Nurul Atikah berkata, pada hari kejadian, dia membawa Adam mengemas rumah sewa baharu mereka.
"Penyewa sebelumnya meninggalkan barang dan perabot lama, ketika saya meminta Adam membuang kotak untuk dibakar pada timbunan sampah di luar rumah, tiba-tiba saja ada benda meletup.
"Rupa-rupanya dalam itu ada tong cat. Memang tak jangka pun sebab saya tak selongkar timbunan sampah. Saya panik dan fikir jangan sapu guna krim atau ubat gigi.
"Masa itu Adam beritahu tangan pedih, saya segera basuh dengan air, rupa-rupanya bahagian muka dia pun teruk," katanya.
Menurutnya, Adam dihantar ke Hospital Kluang, Johor sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk rawatan lebih lanjut.
"Sepatutnya, pada pagi Rabu lalu doktor nak ambil kulit di bahagian paha dan tampal di bahagian yang melecur, tapi hasil pemeriksaan kesan lecur tak merosakkan kulit. Jadi, prosedur itu tak dibuat," katanya.
Menurutnya, setiap hari dia memberikan kata-kata semangat buat anaknya itu untuk terus kuat dan segera sembuh.
Video perkongsian Nurul Atikah di TikTok yang memaparkan keadaan Adam mengundang rasa pilu dalam kalangan warganet.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... adam-tak-macam-dulu |
|