ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon (kanan) bersama Timbalan Pengarah PERKESO Pulau Pinang, Chiam Hong Lan (kiri) menziarahi balu penghantar makanan p-hailing yang maut akibat kemalangan jalan raya, Nur Ammera Atan, di Machang Bubuk, hari ini.di sini. NSTP/Danial Saad
BUKIT MERTAJAM: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pulau Pinang mempergiatkan sesi penerangan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) berikutan setakat ini hanya 5,594 wanita membuat caruman sejak awal tahun ini.
Timbalan Pengarah PERKESO negeri, Chiam Hong Lan, berkata walaupun skim itu mempunyai pelbagai manfaat, masih ramai yang belum mengetahuinya sehingga menyebabkan jumlah yang mencarum masih rendah.
"Jumlah ini (5,594) agak rendah sedangkan seseorang yang mencarum dalam skim ini dilindungi dan mendapat pelbagai faedah antaranya perubatan, hilang upaya kekal dan sebagainya.
"Jadi, kita (PERKESO) perlu lakukan sesuatu dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mencarum supaya wanita tidak bekerja diberi perlindungan sekiranya berlaku apa-apa malapetaka semasa melakukan apa-apa urusan rumah tangga," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon menyerahkan surat pembayaran pencen penakat kepada keluarga penghantar makanan yang maut akibat kemalangan jalan raya.
Mengulas lanjut, Hong Lan berkata, beliau turut meminta semua pemimpin masyarakat memberi galakan kepada wanita untuk membuat caruman.