Bukit Mertajam: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh di tempat awam dengan menunjukkan kemaluan terhadap seorang wanita di tempat parkir kenderaan sehingga
video berhubung perbuatannya itu tular di media sosial.
Tangkapan ke atas lelaki warga tempatan berusia lingkungan 50-an berkenaan dilakukan di sebuah premis di Jalan Aston, di sini, pada jam 3.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Assisten Komisioner Tan Cheng San berkata, penahanan suspek dibuat ekoran polis menerima laporan berhubung insiden berkenaan.
"Mangsa (pemandu wanita) tampil membuat laporan polis susulan insiden menimpanya dan atas maklumat yang diterima sepasukan polis berjaya membuat tangkapan ke atas suspek.
"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam (pagi ini) untuk mendapatkan perintah reman sekali gus membolehkan siasatan dijalankan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Kelmarin, media melaporkan polis giat mengesan seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita di parkir di sebuah restoran makanan segera di Alma, di sini.