|
SAIFUL Syamil dan Nurul Wahida ketika hadir di Kompleks Mahkamah Tinggi Sungai Petani. FOTO Syaharim Abidin
Sungai Petani: Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mengedar ganja seberat lebih 51 kilogram bulan lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kalaiarasi Muniandy.
Mengikut pertuduhan pertama, Saiful Syamil Idris, 32, dan Nurul Wahida Mohd Adnan, 32, didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 768 gram di Lorong Astana, Bandar Sri Astana di sini, 12.30 tengah malam, 28 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu dituduh secara bersama mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 50,866 gram di tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Preeya Singaravelu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kalaiarasi menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kegiatan suami isteri dipercayai menjadi transporter untuk mengedar ganja bernilai RM160,000 sejak April lalu, terbongkar selepas ditahan polis di rumah mereka di Bandar Seri Astana.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... wa-edar-51-kg-ganja |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|