|
Club Leon atau Urawa Reds bakal lawan Man City
MAN City muncul juara Liga Perdana Inggeris buat kali kelima dalam tempoh enam musim. FOTO AFP
Paris: Juara Eropah, Manchester City akan menentang Club Leon dari Mexico atau Urawa Red Diamonds dari Jepun pada separuh akhir Piala Kelab Dunia Fifa, Disember depan di Arab Saudi selepas berlangsungnya undian hari ini.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, pemenang Copa Libertadores, yang belum diketahui, akan menentang kelab Arab Saudi, Al-Ittihad, Auckland City (New Zealand) atau kelab Al Ahly dari Mesir.
Juara negara tuan rumah, pemenang Liga Pro Saudi, Al-Ittihad, akan memulakan saingan menentang Auckland City.
Al-Ittihad berharap untuk mengulangi pencapaian Al-Hilal tahun lalu, apabila muncul kelab Arab Saudi pertama mara ke final.
Mereka tewas kepada Real Madrid, kelab paling berjaya dalam pertandingan itu dengan lima gelaran.
Piala Kelab Dunia akan berlangsung dari 12 sehingga 22 Disember dan diadakan di Arab Saudi buat kali pertama seperti yang diumumkan pada Februari lalu.
Bandar Jeddah akan menganjurkan pertandingan itu di dua venue.
Edisi 2023 akan menjadi edisi terakhir menggunakan format sedia ada iaitu pertandingan tahunan dengan tujuh pasukan sebelum ia bertambah kepada 32 pasukan yang akan diadakan pada 2025 di Amerika Syarikat.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... akal-lawan-man-city
|
|