|
Walker mengaku hampir sertai Bayern
WALKER menyertai City dari Spurs pada 2017 dan dijangka menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun. FOTO REUTERS
Manchester: Bek kanan Manchester City, Kyle Walker berkata, dia hampir menyertai Bayern Munich pada jendela perpindahan lalu, tetapi kini memutuskan untuk kekal dengan pemenang treble itu.
Pemain antarabangsa England berusia 33 tahun itu menyertai City dari Tottenham Hotspur pada 2017 dan dilaporkan akan menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun, selepas kontraknya ketika ini akan tamat pada 2024.
Bersama City, Walker sudah memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), dua Piala FA dan satu trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
"Perpindahan ke Bayern terlalu hampir, tetapi dalam bola sepak, banyak perkara boleh berlaku. Ia tidak menjadi kenyataan bagi saya," kata Walker kepada media Britain.
"Adakah saya menikmati pengalaman ini? Ya, sudah tentu dan City adalah kelab hebat dan anda tidak boleh memandang rendah terhadap apa yang dilakukan kelab ini dalam tempoh enam atau tujuh tahun terakhir.
"Kenapa saya perlu pergi jika saya boleh dapat minit permainan mencukupi dan sesuai dengan saya? Ia apa yang saya mahukan. Ia mengenai siapa yang memberikan lebih baik untuk saya."
Rakan sepasukan Walker dalam skuad England, Harry Kane menyertai Bayern dari Spurs, bulan lalu.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ampir-sertai-bayern
|
|